Bank Rakyat kongsi rezeki

in Edisi Selangor KL by


KAJANG – Lebih 50 kakitangan Bank Rakyat serta ahli jawatankuasa Masjid Al-Mustaqim,  Kampung Datuk Abu Bakar Baginda menyertai program Sinar Aidiladha Bank Rakyat 1439H yang diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.


Program anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al-Barakah itu dilaksanakan bersama Masjid Al-Mustaqim di kawasan berdekatan Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, di sini, kira-kira jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari, semalam.


Menerusi program itu, Bank Rakyat turut menyumbangkan sebanyak empat ekor lembu untuk dikorbankan dan diagihkan kepada golongan asnaf serta penduduk sekitar.


Selain itu, golongan asnaf terpilih juga turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan seperti minyak masak dan beras.


Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif pihaknya dalam memberi balik kepada komuniti bagi menghargai sokongan pelanggan selama ini.


Beliau berkata, ia juga selari dengan hasrat Bank Rakyat untuk memperkenalkan tawaran terkini iaitu Akaun Simpanan-i Tabung Qurban.


“Akaun Simpanan-i Tabung Qurban yang berkonsepkan Syariah Wadi’ah Yad Dhamanah ini merupakan simpanan bagi memudahkan pelanggan bank melaksanakan ibadah korban di dalam dan luar negara dengan lebih fleksibel serta teratur.


“Selain  di Kajang hari ini (semalam),  program sama turut diadakan di Masjid Al-Anshariah, Melaka, Masjid Bandaraya Likas,  Sabah dan Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma,  Sarawak, “katanya memberitahu sebanyak RM10,000 turut disumbangkan pihaknya kepada Masjid Al-Mustaqim, semalam.


Beliau berkata, Bank Rakyat juga turut membuat agihan daging korban di luar negara iaitu di Wilayah Kampot, Kemboja yang kini memasuki tahun keempat sejak 2015.


“Sebanyak 52 ekor lembu dan 21 ekor kambing disumbangkan oleh warga kerja Bank Rakyat kepada golongan kurang berkemampuan di sana,”katanya.


Turut hadir pada majlis,  Ketua Wilayah Kuala Lumpur/Putrajaya Bank Rakyat, Mohd Khuzaini Ab Ghani mewakili Nizam.


Dalam pada itu, Nizam berkata, pelanggan yang berminat untuk melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat berdekatan atau hubungi pusat panggilan tele-rakyat di talian 1-300-80-5454.


Pelanggan juga boleh layari www.bankrakyat.com.my, facebook. com/myBANKRAKYAT, twitter.com/myBANKRAKYAT atau instagram. com/myBANKRAKYAT untuk maklumat lanjut.

 



Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]