Bayar tunggakan nafkah guna duit syiling

in Global by


SOLO – INDONESIA. Seorang penjawat awam di Indonesia membayar tunggakan nafkah berjumlah 153 juta rupiah (RM42,900) kepada bekas isterinya dengan duit syiling.


Dwi Susilarto, 54, tiba di mahkamah kelmarin membawa 12 kampit berisi duit syiling seberat kira-kira 890 kilogram.


Susilarto yang berpendapatan rendah terpaksa meminta bantuan rakan dan ahli keluarga selepas mahkamah mengarahkannya membayar tunggakan alimoni selama sembilan tahun.


Sementara itu, bekas isteri Susilarto, Hermi Setyowati mendakwa tindakan bekas suaminya itu seolah-olah satu penghinaan terhadapnya.


“Dia seolah-olah menganggap saya miskin,” Setyowati dipetik akhbar tempatan sebagai berkata.


Bagaimanapun, peguam Susilarto, Sutarto menafikan anak guamnya cuba menghina bekas isterinya itu.


“Secara jujur, saya juga terkejut tetapi anak guam saya berkata wang itu didermakan oleh rakan dan keluarganya yang kebanyakannya memberikan duit syiling.


“Tiada niat untuk menghina sesiapa. Itu sahaja yang dia ada,” katanya.


Setyowati, yang akhirnya menerima bayaran itu, menegaskan tidak tertipu dengan alasan bekas suaminya. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]