Berita ringkas Sukan Asia 2018

in Sukan by


JAKARTA  – Berikut berita ringkas pada hari keenam Sukan Asia Jakarta-Palembang  2018, semalam.


BOLA KERANJANG 3×3 WANITA:


Skuad negara mencatatkan kemenangan kedua selepas mengatasi Qatar, 18-7 pada aksi kelima  Kumpulan A di gelanggang bola keranjang Gelora Bung Karno, di sini.


Terdahulu, Malaysia tewas 14-22 kepada China pada aksi keempat.


Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia mara ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan A di belakang China.


BERBASIKAL:


Pelumba negara, Nik Mohd Azwan Zulkifle meraih kedudukan ke-13 daripada 17 peserta dalam acara 40km ujian masa individu lelaki di Subang Roads Route, Jawa Barat.


Atlet berusia 28 tahun itu mencatat masa 1 jam 04 minit 57.20 saat.


Pelumba Kazakhstan, Alexey Lutsenko yang mengungguli acara lebuh raya 150km individu semalam, meraih emas kedua selepas melakar catatan masa 55 minit 37.13 saat, disusuli pelumba Uzbekistan, Muradjan Khalmuratov yang meraih pingat perak (57:10.52 saat).


Pingat gangsa digondol oleh pelumba Jepun, Beppu Fumiyuki yang mencatat masa 57:19.20 saat.


GIMNASTIK ARTISTIK:


Gimnas negara, Tan Ing Yueh meraih kedudukan keenam daripada lapan atlet dalam acara senaman lantai wanita setelah memperolehi 12.450 mata pada aksi di Dewan D, Pusat Expo Antarabangsa Jakarta, Kemayoran.


Atlet Korea Utara, Kim Su Jong meraih pingat emas selepas mencatat 13.025 mata, disusuli  atlet  Indonesia, Rifda Irfanaluthfi yang memenangi perak (12.750 mata), manakala Shiho Nakaji dari Jepun  menggondol pingat gangsa(12.600 mata).


GOLF:


Pemain muda negara gagal mengekalkan kecemerlangan setelah menduduki tangga tercorot  pada pusingan kedua individu lelaki dan wanita pada aksi di Pondok Indah Golf & Country Club di Jakarta.


Dalam kategori lelaki, Ervin Chang membuat 73 pukulan manakala Muhammad Afif  Mohd  Fathi mencatat 68 pukulan, sekali gus berada di tangga ke-12 dan ke-27 dengan jumlah masing-masing dua di bawah par 142 dan lima di atas par 147.


Dua pemain wanita negara, Ashley Lau Jen Wen dan Natasha Andrea Oon turut berada dalam  kedudukan  tercorot iaitu masing-masing pada tangga ke-12 dan ke-18.


Lau membuat 71 pukulan untuk catatan keseluruhan satu di bawah par 143 manakala Oon mencatat 74 pukulan untuk jumlah dua di atas par 146.


PENCAK SILAT:


Hanya tiga wakil negara mara ke separuh akhir acara pencak silat yang berlangsung di Padepokan Pencak Silat Indonesia, Taman Mini Indonesia Indah setelah mengatasi lawan masing-masing pada aksi suku akhir.


Juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari mudah menewaskan pesilat Iran, Akbar Kiyaniyan, 5-0 dalam kelas Putera E (65-70kg) manakala Muhammad Faizul Mohd Nasir menundukkan pesilat Pakistan, Adnan juga dengan kiraan 5-0 dalam kelas Putera B (50-55kg).


Seorang lagi pesilat negara, Mohd Fauzi Khalid juga melakar kemenangan selesa 5-0 ke atas pesilat  Laos, Johnny Vongphakdy dalam Kelas Putera F (70-75kg).


PELAYARAN:


Pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy bermula cemerlang setelah menduduki tangga ketiga dengan kutipan tiga mata pada perlumbaan pertama acara Laser Standard di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.


Pelayar wanita negara, Nur Shazrin Mohamad Latif pula berada pada tangga kedua dengan kutipan dua mata dalam acara Laser Radial.


Gandingan Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz pula meraih kedudukan  keempat  dengan kutipan empat mata dalam acara 470 lelaki.


AKUATIK:


Skuad renang negara menamatkan kempen Sukan Asia 2016 tanpa sebarang pingat dalam acara renang.


Pada aksi hari ini, Foong Wei Tze gagal melayakkan diri ke final acara 50m kuak dada lelaki  setelah  menduduki tangga kelapan dengan catatan 29.51 saat pada saringan kelima.


Beliau yang bergandingan bersama Tern Jian Han, Chan Jie dan Keith Lim Kit Sern turut gagal mara ke final acara 4×100 rampaian berganti-ganti lelaki setelah menduduki tangga keenam daripada tujuh pasukan dengan catatan 3 minit 49.08 saat pada saringan ketiga.


SKUASY:


Dua wakil negara mara ke separuh akhir selepas mengalahkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir acara individu di Arena Skuasy Gelora Bung Karno.


Juara wanita kebangsaan, S. Sivasangari menerima tentangan sengit daripada wakil Hong Kong, Annie Au sebelum melakar kemenangan 11-9, 11-13, 11-5, 3-11 dan 11-5.


Pemain lelaki kebangsaan, Mohd Nafiizwan Adnan turut mara ke separuh akhir selepas  mencatat  kemenangan 11-9, 12-10, 9-11, 5-11 dan 11-9 ke atas pemain Qatar, Abdulla Al Tamimi.


Seorang lagi pemain negara, Ivan Yuen, bagaimanapun, terkandas setelah tewas 2-11, 7-11 dan 4-11 kepada pemain Hong Kong, Leo Au.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]