Boling Masters Wanita: Syaidatul, Natasha sasar pingat

in Sukan by


PALEMBANG – Pemain boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan tidak sabar lagi untuk merebut pingat di dalam acara Masters Wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang di sini.


Syaidatul Afifah mendapat markah tertinggi dalam kedudukan All-Events dengan 2,918 jatuhan pin dalam acara trio wanita untuk merangkul emas bersama Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, sebelum bergabung dengan rakan sepasukan yang lain dan memperoleh perak dalam acara berpasukan wanita dengan enam anggota di Pusat Boling Jakabaring, di sini.


Pemain boling berusia 26 tahun itu berharap mengekalkan momentum persembahannya dan berusaha mendapatkan pingat ketiga dalam edisi kali ini, jumlah maksimum pingat yang boleh diraih seseorang pemain setelah penganjur mengurangkan jumlah pingat yang ditawarkan untuk acara perseorangan, beregu dan All-Events, kali ini.


“Setakat ini saya beraksi dengan baik pada lorong boling dengan corak minyak yang panjang dan sederhana dan saya berpuas hati dengannya. Saya hanya perlu kekalkan momentum saya mengharapkan sebutir lagi pingat,” katanya.


Sementara itu, Natasha yang layak ke dalam acara itu selaku pemain kedua terbaik Malaysia selepas  berada di kedudukan keempat dalam acara All-Events dengan 2,828 jatuhan pin, juga  menyasarkan  sebutir lagi pingat walaupun bakal berhadapan saingan sengit kerana hanya yang terbaik mara dalam acara  berkenaan.


“Sebenarnya, saya tidak menjangka untuk melangkah ke Masters, tetapi saya sudah layak maka saya akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan satu lagi pingat buat negara.  Ia adalah sukar kerana setiap pemain bermain dengan sangat baik dengan ketekalan yang tinggi,” katanya.


Pemain berusia 22 tahun itu mengumpul 1,428 jatuhan pin dalam acara trio wanita dan 1,400 jatuhan pin setelah bergabung dengan rakan sepasukan lain dalam acara berpasukan.


Kali terakhir Malaysia memenangi emas dalam acara Masters semasa Shalin Zulkifli dan Lai Kin Ngoh  mendapat tempat pertama dan kedua dalam edisi 2002 di Busan, Korea Selatan, sementara pingat terakhir  diperoleh Esther Tan, sebutir pingat perak dalam Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]