Bukan tempoh bulan madu Pas

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Pas Kedah mengingatkan ahlinya agar tidak leka dengan pencapaian PRU14 lalu, yang menyaksikan kemenangan membanggakan di negeri ini.


Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, walaupun bahang PRU14 masih terasa, namun ia bukan alasan untuk ahli parti itu ‘berbulan madu’.


Menurutnya, gerak kerja dan persiapan berdepan saingan PRU15 harus dibina bermula sekarang dan bukannya digerakkan menjelang PRU15.


“Pesanan saya kepada ahli semua peringkat, kita tak boleh ‘berbulan madu’ selepas tamat PRU14. Semua ahli harus bertindak secara konsisten, bersama gerak kerja tersusun serta istiqamah untuk hadapi PRU15,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pas Kedah, yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya menjangkakan cabaran PRU15 akan lebih getir dan perlu memperkuatkan jentera pilihan raya sejak awal.


“Kita andaikan PRU15 lebih hebat cabarannya, malah dijangka diadakan dalam tempoh kurang dari lima tahun, bermakna kita harus persiapkan jentera termasuk pemikiran ahli bermula sekarang,” katanya.


Menurutnya, motivasi kepada ahli dan kefahaman berpolitik menerusi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) akan dilakukan secara berterusan.


“Dengan kekuatan jumlah kerusi yang Pas menangi, iaitu hampir menguasai kerajaan negeri, kita harus bekerja dari semasa ke semasa. Kefahaman dan suntikan motivasi akan digerakkan kerana pencapaian PRU14 amat baik, cuma belum mencukupi untuk perintah Kedah,” katanya.


Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya percaya dengan perancangan awal yang lebih tersusun serta semangat ahlinya yang luar biasa, Pas mampu menawan Kedah pada PRU15.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]