ECRL, SSER: Keputusan muktamad dijangka minggu depan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan dijangka membuat keputusan muktamad berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip Strategic Energy Resources (SSER) selepas mesyuarat Kabinet minggu depan.


Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana berdasarkan laporan media asing seperti South China Morning Post, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan rasmi ke negara Tembok Besar menyatakan projek-projek tersebut akan dibatalkan atau ditangguhkan seketika dan ia dilihat bukan satu keputusan rasmi.


Menurutnya, isu tersebut pasti akan dibicangkan oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet dan pengumuman tersebut akan dibuat dalam sidang media selepas itu.


“Pertama kita boleh pegang apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir ketika berada di China kepada media asing adalah pendirian negara dan ia adalah rujukan seluruh dunia serta sudah pasti bila berdepan dengan media asing, beliau tidak boleh berdolah dalih.


“Seperti yang saya katakan tadi, South China Morning Post laporan Dr Mahathir berhasrat membatalkan atau menangguhkan projek-projek tersebut kerana isu ekonomi sekarang. Jadi pulang dari China, Dr Mahathir dalam wawancaranya juga nyatakan bahawa pengumuman pembatalan tersebut belum muktamad dan wujud perbincangan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Semalam, Dr Mahathir menyatakan keputusan pembatalan projek ECRL dan saluran paip SSER belum muktamad.


Memetik wawancara Malaysiakini, beliau berkata, apa yang beliau lakukan pada lawatan rasmi ke China baru-baru ini adalah untuk menetapkan prinsip bergerak ke hadapan namun pembatalan, penangguhan atau penyelesaian cara lain projek berkenaan belum dapat ditentukan lagi.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pembatalan ECRL, SSER belum muktamad]


Mengulas perkara tersebut, Awang Azman berpendapat, kerajaan wajar memberi perhatian kepada soal menambahbaik atau menambah laluan bagi kenderaan menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat.


“Kalau kita lihat setiap kali musim perayaan, kebanyakan rakyat Pantai Timur yang tinggal di Lembah Klang lebih cenderung menggunakan kenderaan sendiri untuk pulang ke kampung.


“Pada pandangan saya jika tidak mampu untuk meneruskan projek mega ini kerana soal ekonomi negara, adalah lebih baik kerajaan beri fokus kepada memulihkan soal ekonomi ini terlebih dahulu. Itu lebih mustahak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]