Floria Diraja Putrajaya setaraf Festival Tulip Belanda

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat menjadikan Floria Diraja Putrajaya setaraf dengan festival bunga terkenal di dunia, Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof di negara itu setiap tahun.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, festival bunga berkenaan menerima satu juta pengunjung saban tahun dari lebih 100 buah negara.


Beliau berkata, Floria Diraja Putrajaya juga dilihat berpotensi untuk dikembangkan dengan penglibatan penjual, pembeli dan pengimport dan pengeksport bunga dari dalam dan luar negara.


“Floria Putrajaya 2007 telah merekodkan 300,000 pengunjung dan penganjuran kedua pada 2009 pula berjaya menarik 500,000 pengunjung. Floria Putrajaya menempa sejarah apabila dianugerahkan status Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2014 dan merekodkan 826,811 pengunjung pada 2016.


“Pada tahun ini, Floria dijangkakan akan menarik lebih kurang satu juta pengunjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018, di sini, hari ini.


Pada majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman berkenan menyempurnakan perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama Dr Wan Azizah dan Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad serta tetamu undangan yang lain. Foto Sinar Harian/Rosli Talib


Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, penganjuran Floria bukan sahaja sebagai produk pelancongan bagi Putrajaya dan Malaysia, malah acara ikonik itu sudah menjadi penanda aras bagi industri landskap dan hortikultur negara.


“Kerajaan Malaysia mengalu-alukan penganjuran acara sebegini yang dapat memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira usia dan memberi peluang kepada semua untuk menikmati keindahan tanah air dikelilingi udara segar dan sekitar yang bersih,” katanya.


Sempena Floria Diraja Putrajaya 2018, katanya, turut diadakan edisi kedua Dialog Antarabangsa Floria Diraja juga memberi peluang kepada pihak berkepentingan dan berkaitan industri bunga negara berkumpul yang bertujuan memberi kesedaran terhadap perkembangan terkini industri berkaitan, selain mengembangkan jaringan kerjasama sesama mereka dan pihak profesional industri.


“Dialog ini merupakan landasan jaringan perniagaan sempena Floria Diraja Putrajaya yang dijangka menarik perhatian peserta serta pemimpin industri berkaitan, bukan sahaja dalam kalangan peserta tempatan, malah juga peserta antarabangsa. Justeru, persidangan itu menjadi platform mendorong ekonomi Malaysia dan menjana peluang perniagaan bagi perusahaan kecil, sederhana dan besar.


“Penganjuran dialog ini tepat pada masa. Adalah dijangkan Floria akan menerajui industri hortikultur dan florikultur negara yang merangkumi peserta profesional dalam bidang landskap, bunga-bungaan, hortikultur dan florikultur serta bidang lain yang berkaitan,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Wilayah dan Perbadanan Putrajaya (PPj) juga dilihat gigih meletakkan Putrajaya sebagai antara destinasi dalam peta festival bunga-bungaan sedunia, World Flower Show Map.


“Usaha berterusan ini sudah membuahkan hasil dengan pencapaian 10 anugerah yang telah dikecapi mereka, simbolik dengan sambutan ulang tahun ke-10 Floria.


“Pengiktirafan terbaharu, Floria dilantik dalam Council of Asia Flower Exhibitions atau Cafe yang ditubuhkan Korea Selatan, bersama-sama perwakilan dari Korea, Indonesia, Bhutan, Nepal, Pakistan, Taiwan, Kazakhstan, Jepun, Thailand, Singapura dan Filipina. Ini merupakan kejayaan bagi Floria yang diakui sebagai festival bunga dan taman terbesar di rantau ini,” katanya


Bertemakan 10 Kegemilangan Floria, Floria Diraja Putrajaya 2018 menghimpunkan bunga-bunga tema sejak 2007 merangkumi bunga raya  heliconia, ros, bunga kertas, begonia, lili dan kekwa lebih daripada 400,000 pokok daripada pelbagai spesis.


Floria Diraja Putrajaya adalah anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak 2007 dan mula dijadikan acara tahunan pada 2009 kerana mendapat sambutan menggalakkan dari pengunjung.


Festival itu mempamerkan produk-produk komersial dari industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi oleh pereka taman dan pertunjukan bunga-bungaan dari dalam dan luar negara, yang dipersembahkan dalam suasana taman.


Pada tahun ini, seramai 29 pereka bentuk bunga antarabangsa dari sembilan negara melibatkan China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam akan mempamerkan hasil kreatif mereka.


Pameran bunga dan taman berbentuk festival itu berlangsung bermula 25 Ogos hingga 2 September ini di Anjung Floria Event Centre, Presint 4, di sini, bermula jam 9.00 pagi hingga 10.30 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).


Harga tiket masuk Isnin hingga Jumaat adalah RM12 bagi pemegang MyKad, RM24 (warga asing) manakala kanak-kanak, orang


kurang upaya (OKU) dan warga emas (RM6) bagi pemegang MyKad serta RM12 (warga asing).


Sementara harga tiket masuk bagi Sabtu dan Ahad adalah RM15 bagi pemegang MyKad, RM30 (warga asing) manakala kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas (RM8) bagi pemegang MyKad serta RM16 (warga asing).


Bagaimanapun, pengunjung yang membeli tiket secara dalam talian, mereka berpeluang menikmati diskaun sebanyak 20 peratus berbanding pembelian melalui kaunter.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]