Jangan salah guna sentimen agama

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa mengingatkan semua pihak agar sentimen agama tidak disalah gunakan.


Peringatan ahli Parlimen Parit Buntar itu khususnya kepada parti-parti politik yang sejak kebelakangan ini menggunakan sentimen agama bagi tujuan tertentu.


Tegasnya, agama seharusnya lebih bebas daripada segala sentimen, kerana ia lebih tinggi darjatnya daripada semua perkara.


“Agama seharusnya bebas dari unsur politik, termasuklah khutbah di mimbar-mimbar masjid. Agama harus lebih bebas dari semua kerana ia lebih tinggi dari semua,” katanya dalam sidang media di Kompleks Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA , hari ini.


Mujahid yang baharu pulang dari Makkah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Parti Amanah Kelantan yang mendakwa Pas negeri itu menyampaikan khutbah hari raya Aidiladha untuk memburukkan kerajaan PH.


Dakwaan itu antaranya, menuduh kerajaan PH bertanggungjawab ‘menghalalkan LGBT’.


Dalam pada itu, menyentuh lanjut perkara ini , Mujahid berkata, seharusnya penyampaian teks khutbah menggalakkan orang ramai  ke arah kebaikan bukannya bermain sentimen dengan


melabel pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.


“Ia (teks khutbah seharusnya) lebih menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada membina negara ini dan lebih penting jauhkan daripada melabel-labelkan kelompok tertentu hanya kerana berbeza pandang politik apatah lagi menyebarkan fitnah yang tidak betul hanya untuk kepentingan politik.


“Dan itu sememangnya menjadi nasihat saya sejak dari awal pegang jawatan menteri agar agama tidak di politikkan,” katanya.


Katanya lagi, oleh kerana beliau baharu pulang dari Makkah beliau akan menyemak  kenyataan Amanah Kelantan itu bagi tindakan lanjut.


“Saya baru balik dan saya sepanjang di Makkah saya lebih tertumpu kepada ibadah saya serta jemaah Haji.


“Bagaimanapun, saya akan semak apa isunya nanti bila saya masuk pejabat dan akan ambil langkah susulan jika benar terdapat dakwaan sedemikian,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]