JDT kembali hidupkan peluang Piala Malaysia

in Sukan by


PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Malaysia setelah berjaya menundukkan Kelantan 1-0 dalam aksi peringkat Kumpulan C, di Stadium Larkin, sebentar tadi.


Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berjaya menebus kekecewaan tewas 0-1 di tangan Kelantan ketika aksi peringkat kumpulan di Stadium Muhammad IV minggu lalu.


Bermula babak pertama, aksi dilihat rancak apabila kedua-dua pasukan cuba melancarkan serangan bertali arus dan menguji keupayaan masing-masing.


Bagaimanapun, gawang tuan rumah diuji terlebih dahulu apabila penyerang Kelantan, Nik Azli Nik Alias dikurniakan sepakan percuma oleh pengadil selepas dikasari Gary Steven Robbat pada minit ke-14.


JDT kemudiannya cuba mencari ruang mendapatkan jaringan menerusi Fernando Marquez, namun rembatannya pada minit ke-38 hasil hantaran Gonzalo Cabrerra gagal disudahkan.


Peluang JDT sekali lagi hadir pada minit ke-60 apabila Safiq Rahim yang berjaya meloloskan diri ke dalam gawang lawan cuba melepaskan rembatan, tetapi sepakan sedikit perlahan lalu berakhir ke dakapan penjaga gol.


Tandukan Fernando Marquez empat minit selepas itu akhirnya berjaya memecah kebuntuan tuan rumah untuk mendapatkan gol pertama sekali gus menambah tekanan buat pelawat.


JDT kemudiannya berjaya mendapatkan semula kawalan permainan apabila Kelantan gagal melepasi pertahanan tuan rumah selain terus menggunakan corak bertahan sehingga tamat permainan.


Keputusan kekal 1-0 hingga wisel penamat yang mana menyaksikan JDT berada di puncak Kumpulan C dengan mengutip enam mata selepas empat perlawanan.


Bagaimanapun keputusan tersebut boleh berubah bergantung kepada keputusan perlawanan antara MISC Mifa menentang Kedah esok.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]