Keunikan kilauan warna akoya

in Bisnes by


MUTIARA antara perhiasan dambaan wanita kerana keunikan dimiliki dan mempunyai nilai tinggi. Sejak sekian lama, perhiasan mutiara menjadi pilihan jutaan wanita sebagai penyeri diri.


Pemakainya akan kelihatan elegan dan tampil eksklusif. Justeru minat mendalam terhadap perhiasan ini, mendorong Surwani Ab Kader, 31, meneroka pasaran mutiara daripada Jepun untuk di pasarkan di Malaysia.


Menurut Pengasas The Pearl Malaysia itu, mutiara asli daripada Jepun yang dikenali sebagai akoya menjadi pilihan untuk dipasarkan berikutan kilauan warnanya yang menarik serta harganya yang lebih murah.


“Mutiara terdiri daripada pelbagai gred dan harga. Jadi kita pilih untuk pasarkan jenis ini yang mampu dimiliki, iaitu hanya RM100 sebiji.


“Ia sekaligus menawarkan pasaran mutiara pada harga mampu milik serta peluang menjana pendapatan kepada mereka yang berminat,” katanya.


Jelasnya, mutiara akoya atau lebih dikenali sebagai ‘candy pearl’ diambil tisunya ketika berusia dua bulan dan disuntik dengan bahan pengawet.


Ketika umur dua tahun barulah mutiara itu dituai. Kaedah ini yang menjadikan pilihan warna yang pelbagai dan kilauan yang menarik.


Percubaan membuahkan hasil


Baru bertapak sejak Mac lalu, wanita yang dahulunya seorang peniaga dalam talian, berkongsi pengalaman, segalanya bermula selepas melihat rakaman di YouTube mengenai mutiara akoya.


Ini mencetuskan semangat ingin mencuba berniaga mutiara akoya untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia.


“Saya lihat tiada lagi peniaga yang menjual mutiara jenis ini di Malaysia. Saya rasakan kenapa tidak saya cuba. Kebetulan saya ada kenalan di sana yang boleh membantu,” katanya yang memulakan perniagaan dengan bermodal RM1,500 sahaja.


Bermula secara kecil-kecilan dengan menawarkannya kepada kenalan, sambutan diterima amat memberangsangkan.


“Saya tak sangka, percubaan pertama ini membuahkan hasil dan memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 dan bulan seterusnya mencecah RM30,000.  


“Ini membuat saya nekad mengembangkan perniagaan ini dengan menawarkan peluang kepada orang ramai melalui The Pearl Malaysia,” katanya.


Tambahnya, walaupun masih baru, terdapat cabaran perlu dilalui terutamanya dalam meyakinkan pembeli mengenai keaslian mutiara yang dipasarkan.


“Ada yang ragu-ragu jenis mutiara ini. Tetapi kami sentiasa jujur dengan pelanggan dan berkongsi tip untuk mengenal pasti mutiara asli.


“Kami juga gunakan media sosial iaitu Facebook secara Live. Di situ, pembeli boleh melihat sendiri tiram-tiram yang dibuka dan melihat warna mutiara dihasilkan,” katanya.


Buka peluang jana pendapatan


Konsep pasaran menerusi pengedar diguna pakai membantu mengembangkan perniagaannya yang semakin dikenali ramai.


“Terdapat empat peringkat iaitu agen, dealer, stokis dan leader. Mereka akan diberi latihan terlebih dahulu,” katanya.


Ibu dua anak ini berkata, agen akan membuat jualan melalui Live di Facebook dan pelanggan boleh membuat pembelian secara langsung dan melihat hasil mutiara yang diperoleh serta-merta.


“Satu paket berharga RM400 mengandungi lima biji tiram. Kebiasaannya pelanggan akan memperoleh lima hingga 11 mutiara pelbagai warna saiz iaitu dari 6 hingga 8 milimeter.


“Ini lebih menjimatkan dan hasil mutiara itu boleh dijadikan pelbagai aksesori antaranya cincin, rantai, gelang, loket, kerongsang dan pelbagai lagi,” katanya.  


Tembusi pasaran antarabangsa


Surwani berkata, dengan permintaan yang semakin menggalakkan, beliau optimis produk itu mampu mendapat permintaan pasaran tempatan seterusnya menembusi peringkat antarabangsa.


Bagi mengukuhkan perniagaan, beberapa strategi telah diatur termasuklah mempelbagaikan lagi bentuk mutiara antaranya, bentuk tear drop (titisan) dan Baroque (tidak berarutan).


“Memandangkan syarikat baru beroperasi, kita hanya pasarkan mutiara akoya berbentuk bulat.  Namun perancangan akan datang, kita akan pelbagaikan bentuk mutiara,” katanya yang kini telah mendapat permintaan pelanggan daripada Singapura dan Brunei.


Tambahnya, sambutan diterima dalam kalangan pelanggan amat memberangsangkan dengan jualan bulanan telah mencapai RM60,000.


Beliau yakin pasaran mutiara akoya begitu meluas memandangkan wanita gemar menjadikan mutiara sebagai aksesori eksklusif.


“Uniknya mutiara akoya berbanding mutiara lain adalah ia diimport dari Jepun, mutiara asli dari laut masin serta menawarkan warna yang pelbagai setelah diternak selama dua tahun,” katanya sambil menambah terdapat lebih 20 agen The Pearl Malaysia di seluruh negara.


Jelasnya, mereka yang berminat menjadi agen dan stokis amat dialu-alukan terutamanya golongan suri rumah yang ingin menjana pendapatan.


“Mereka yang berminat akan diberi bimbingan dan latihan. Ketika ini kami dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan dan turut mengadakan siri jelajah di seluruh negara,” katanya.            

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]