Lembu dicuri di Pasir Mas, jumpa di Pengkalan Chepa

in Edisi by


PASIR MAS – Hari-hari terakhir sambutan Aidiladha cukup bermakna buat Mohammad Saidi Abdullah dan seluruh sanak saudaranya apabila lembu korban milik mereka yang dipercayai dicuri pada pagi raya ditemui dalam keadaan selamat semalam.


Lembu korban yang hilang pada hari haya pertama Aidiladha (Rabu) itu ditemui orang ramai di Pengkalan Chepa selepas gambar haiwan tersebut dimuat naik dan kemudian tular di laman-laman sosial Facebook dan WhatsApp.


Mohammad Saidi berkata, penemuan semula lembu itu membolehkan dia dan sanak-saudaranya menjalankan ibadah korban dengan jaya.


“Kami tidak mampu mengungkapkan apa-apa kecuali Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran apabila dua ekor lembu korban yang dicuri akhirnya berjaya ditemui.


“Tapi hari ini kami hanya korbankan seekor sahaja lembu.


“Ini kerana ada dalam kalangan ahli keluarga terpaksa pulang awal kerana cuti mereka sudah tamat,” katanya.


Menurutnya, sambutan Aidiladha kali ini amat besar ertinya buat mereka selepas bertungkus-lumus mencari dan mengesan lembu berkenaan.


Katanya, usaha mengesan lembu itu digerakkan  bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sebaik sahaja haiwan berkenaan yang bernilai lebih RM8,000 disedari hilang kira-kira jam 6 pagi Aidiladha.


“Kejadian itu disedari oleh anak saya apabila mendapati dua ekor lembu korban milik kami telah hilang, sedangkan sebelum itu ia masih kelihatan pada jam 4 pagi.


“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah menularkan gambar lembu berkenaan di laman-laman sosial,” katanya.


Mohammad Saidi memberitahu, hasil kerja keras dan bantuan daripada orang ramai lembu itu berjaya ditemukan di Pengkalan Chepa.


Katanya, dia juga berterima kasih kepada ahli keluarga yang memberikan sokongan supaya lembu tersebut terus dicari.

Salah seekor lembu berjaya dikorbankan pada hari-hari terakhir Aidiladha.


“Walaupun saya mahu gantikan dengan lembu baharu, namun mereka memberi ruang untuk mencari haiwan itu.


“Berkat kesabaran akhirnya ia kembali temukan dalam keadaan selamat,” katanya.


Mohammad Saidi berkata, lembu tersebut selamat dikorbankan pada jam 10 pagi tadi.


Sementara itu, pemilik asal lembu berkenaan Shamsaimon Mat Sid, 51, berkata, dia menyerahkan haiwan berkenaan kepada Mohammad Saidi pada jam 11 malam.


Katanya, selepas menyerahkan lembu tersebut dia naik ke rumah Mohammad Saidi untuk berborak-borak sementara menunggu hujan lebat kembali reda.


“Pada pagi itu, saya dikejutkan dengan berita kehilangan lembu berkenaan. Terkejut dengan berita itu saya terus membantu Mohammad Saidi mencari lembu tersebut.


“Alhamdulillah akhirnya lembu itu kembali ditemui dan mereka semua dapat menjalani ibadah korban,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]