Peluang anggota bomba miliki rumah

in Edisi by


KOTA BHARU – Anggota bomba di seluruh negara yang berkelayakan namun belum memiliki rumah berpeluang memohon kediaman di bawah projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, selaku anggota yang berkhidmat di bawah kementerian tersebut, mereka juga layak memohon rumah mampu milik termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR).


“Atas dasar mendahului kebajikan seramai 14,000 anggota bomba amat wajar saya mengumumkan bahawa mereka yang belum memiliki rumah diberi peluang untuk memohon rumah yang dibina KPKT.


“Sebagai kementerian bertanggungjawab membina rumah untuk rakyat terutama golongan B40, anggota bomba juga tidak harus dikecualikan dan tiba masanya kita memartabatkan profesion mereka seiring dengan anggota polis dan tentera,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Jalinan Mesra bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.


Hadir sama Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood, timbalannya, Anwar Abu Bakar, pegawai tertinggi serta ketua balai bomba seluruh negeri.


Dalam sidang media sama, beliau memberitahu, elaun kritikal anggota JBPM yang dipohon sejak April lalu namun tertangguh sehingga kini turut mendapat perhatian untuk dibawa ke mesyuarat kabinet.


“Dalam proses kelulusan ini banyak prosedur harus dilalui termasuklah kertas kerja yang kita sediakan perlu mendapat ulasan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.


“Namun saya akan berusaha mendapatkan kelulusan kabinet. Kita sedar anggota bomba menjalankan tugas berisiko tinggi, terdedah kepada kebakaran, lemas dan jatuh daripada bangunan dan harus ada pertimbangan dalam pemberian elaun ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Zuraida memaklumkan sebanyak 240 balai bomba baharu berada dalam senarai untuk dibina namun ia belum dapat dilaksanakan berikutan situasi kewangan negara belum stabil.


“Setakat ini kita baru bina 250 jadi masih ada lagi kekurangan. Jadi untuk jangka masa pendek, saya minta JBPM gerakan penubuhan bomba sukarelawan dan komuniti bagi membantu dalam keadaan terdesak dengan memberi bantuan kepada anggota terdekat,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]