Pemilik kebun getah tertekan

in Edisi by


TEMERLOH – Sudahlah dihimpit dengan penurunan harga getah di pasaran, pemilik kebun getah di Kampung Belenggu, di sini berdepan pula kejadian kecurian getah sekerap yang kerap berlaku sejak beberapa bulan lalu.


Bahkan, bukan sahaja getah sekerap dicuri malah pencuri kian berani menoreh sendiri di kebun terlibat menyebabkan sumber pendapatan mangsa terus terjejas.


Ini menyebabkan mereka terus tertekan kerana hingga kini masih belum ada jalan penyelesaian dan mendakwa ‘pencuri’ masih bebas melakukan jenayah tersebut.


Bagi Gwee Ah Bee, 57, dia terkilan dengan situasi tersebut kian menjadi-jadi dan mendakwa boleh dikatakan setiap hari berlaku kecurian di kebun miliknya seluas kira-kira 2.4 hektar di kampung terbabit.


“Saya baru sahaja menoreh kembali di kebun ini tahun ini dan berdepan dengan situasi kecurian sebegini.


“Mereka bertambah berani sebab bukan curi getah sekerap tetapi menoreh sendiri. Ya jumlah kerugian tidak sebesar mana tetapi ia hasil penat lelah saya.


“Mereka ini melakukan aktiviti terbabit pada waktu malam dan bukan buat seorang diri tetapi ber­kumpulan,”dakwanya ter­dapat pondok dipercayai ‘lokasi’ mereka berkumpul berhampiran kebunnya.


Menurutnya, sudah beberapa kali laporan polis dibuat dan kali terakhir pada 20 Ogos lalu.


Situasi sama turut dihadapi Woo Kow Wan, 62, yang mengharapkan satu tindakan tegas dapat diambil sebelum insiden tersebut terus berlaku.


Menurutnya, dia sendiri sudah mati akal untuk menangkap pencuri terbabit yang licik melakukan kegiatan tersebut selain membuat beberapa kali laporan polis.


“Saya pernah terser­empak dengan mereka menunggang motosikal dan apa­bila diperiksa meng­gunakan nombor pendaftaran palsu,” dakwanya telah mengalami kerugian kira-kira RM3,000 setakat ini.


Dalam pada itu, Woo Chong Wan,72, insiden sama pernah berlaku beberapa tahun lalu namun menyifatkan ia paling teruk terjadi dalam tempoh kebelakangan ini.


“Kami berharap pihak berkaitan boleh bantu kami, kesannya amat kami rasai dan bimbang jika dibiarkan takut ada masalah lebih besar terjadi,” ujarnya.


Sementara itu pembeli getah berlesen, Syahril Asri Sapi, 25, mendakwa pernah beberapa individu ingin menjual hasil getah kepadanya namun menolak kerana curiga dengan tindakan mereka.


“Sebab dalam jumlah yang banyak dan saya curiga dengan hasil diperoleh berdasarkan pengalaman selama ini.


“Malah pernah saya berdepan insiden dikejar mereka kerana tidak mahu membeli getah terbabit,” dakwanya lagi.


Kesemua mereka ditemui ketika sesi perjumpaan bersama Adun Mentakab, Woo Chee Wan, semalam.


Sementara itu, Chee Wan mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama untuk membanteras kegiatan tersebut selain selain meminta pihak berkuasa dapat menangani dengan tegas untuk mengelakkan aktiviti itu terus berleluasa.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]