PRK Seri Setia: Pas yakin tiada undi protes

in Politik by


ALOR SETAR – Pas yakin tidak wujud undi protes mahupun sabotaj kalangan ahlinya yang didakwa bakal memberikan undi senyap kepada calon Pakatan Harapan (PH) di PRK Dun Seri Setia.


Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemelut yang digembar-gemburkan berlaku dalam Pas Selangor sebelum PRU14 hanya ibarat ‘sakit demam PRU’ dan sudah pun berakhir.


Menurutnya, PRK yang akan berlangsung pada 8 September adalah Pas baharu yang lebih mantap untuk berdepan saingan pilihan raya.


“Jika ada pihak dakwa undi senyap Pas berpihak kepada calon lawan, saya percaya apa yang disebut itu hanya sebahagian kempen pilihan raya semata-mata bagi menunjukkan calon PH beroleh sokongan setempat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pas Kedah, tadi.


Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu  berkata, gimik politik seperti itu adalah perkara biasa dalam meraih sokongan pengundi.


Sebelum ini, calon PH PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar yakin meraih sokongan undi bukan sahaja kalangan penyokong gabungan parti itu, malah penyokong Pas dan Umno. Ia susulan beliau calon anak tempatan, selain percaya pengundi Pas akan memberikan undi senyap kepada dirinya.


Dr Ahmad Samsuri berkata, Pas bersikap realistik untuk menawan kerusi Dun Seri Setia, walaupun mengakui berdepan kesukaran apabila hanya terdapat 55 peratus pengundi Melayu, diikuti pengundi India (24 peratus) dan Cina (21 peratus).


“Pas mempunyai sasaran tersendiri dan mampu berikan arahan kepada ahlinya agar mengundi calon Pas, malah yakin terhadap kemampuan Dr Halimah Ali yang cemerlang dalam khidmatnya sebagai Exco Selangor dan Adun Selat Klang sebelum ini,” katanya.


Menurutnya, Pas tetap akan memberikan saingan sengit walaupun keputusan PRU14 lalu dilihat sebagai cabaran besar buat parti itu di kerusi terbabit.


“Pas sudah lalui banyak PRU dan berdepan pelbagai keputusan. Kita tidak gentar walau apa jua keputusan walau hilang wang pertaruhan, lawan tetap lawan,” katanya.   

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]