Rebut peluang skim pembiayaan MIDF

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking menggesa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah merebut peluang dan memanfaatkan sepenuhnya skim pembiayaan yang disediakan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF) bagi melonjakkan lagi potensi perniagaan mereka.


Darell berkata, jumlah pengusaha IKS Sabah yang telah mendapatkan bantuan kewangan MIDF bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan masih lagi rendah iaitu hanya 764 setakat ini daripada 10,818 syarikat seluruh negara sejak agensi berkenaan diwujudkan pada 1960.


Justeru, usahawan IKS Sabah perlu lebih agresif dan positif dalam mendapatkan pembiayaan perniagaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan MIDF dan menjadi pengusaha IKS yang lebih kompetitif dalam pasaran, katanya.


“(Setakat ini) ada lebih 700 usahawan IKS Sabah telah memohon dan dapat kelulusan (pembiayaan MIDF), jadi mengapa tidak jumlah itu ditingkatkan dua atau tiga kali ganda. Justeru, ambil peluang ini kerana mereka (MIDF) sentiasa bersedia untuk menyalurkannya.


“Bagaimanapun, usahawan IKS Sabah juga perlu memberi kelayakan tepat berdasarkan kriteria ditetapkan supaya pinjaman perniagaan dapat diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai Automasi dan Revolusi Industri 4.0 anjuran MIDF, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa.


Mengenai seminar itu, Darell berkata ia disasarkan untuk membantu pengusaha IKS di Sabah mempelajari lebih mendalam tentang model perniagaan yang akan dipraktikkan pada masa depan.


Selain itu, ia juga menjadi platform dalam memberi pandangan mengenai prospek ekonomi dan Industri 4.0 serta maklumat mengenai automasi kepada usahawan IKS selain peluang untuk usahawan terbabit mewujudkan rangkaian perniagaan.


Lebih 100 peserta terdiri daripada usahawan IKS Sabah dalam pelbagai industri menghadiri seminar setengah hari itu yang diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai usaha kerajaan dan agensinya dalam membantu mengembangkan lagi potensi perniagaan para usahawan tempatan.


Sementara itu, Charon berkata, MIDF akan terus menyokong pengusaha IKS Sabah dengan menyediakan pembiayaan dan memberi akses kepada maklumat mengenai produk, perkhidmatan, dan insentif kewangan yang disediakan kerajaan dan agensinya.


Setakat ini, katanya, sebanyak 764 syarikat di negeri ini telah mendapatkan kemudahan pinjaman membabitkan dana sejumlah RM768.8 juta, dan agensi itu berharap lebih ramai usahawan IKS Sabah mengambil peluang disediakan untuk memajukan perniagaan mereka.- Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]