Rumah RM40,000 seunit bangunkan kawasan Dun

in Edisi by


ALOR GAJAH – Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab merancang untuk membangunkan Dun menerusi projek pembinaan rumah berharga RM40,000 seunit.


Mohd Sofi berkata, ia bukan mustahil untuk dilaksanakan kerana projek tersebut berjaya direalisasikan di kawasan Lipat Kajang dalam Dun Durian Tunggal sekali gus pembinaannya kelak menjadi yang pertama dalam Dun itu.


Menurutnya, langkah itu bagi memenuhi keperluan serta kehendak penduduk terutama golongan berpen­dapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri dengan harga yang berpatutan di bawah RM50,000.


Katanya, pihaknya juga akan mengenal pasti tanah yang masih kosong dan sesuai untuk dilaksanakan, termasuk memper­timbangkan sekiranya terdapat tanah penduduk yang membenarkan projek tersebut direalisasikan.


“Saya melihat rumah berharga itu satu keperluan dan kehendak untuk kita bina kerana masih ramai penduduk Dun ini yang memerlukan.


“Kita akan panjangkan kepada Lem­baga Perumahan Melaka untuk bersama  menjayakan projek perumahan seperti mana yang berlaku di Lipat Kajang, Merlimau,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah kepada 77 penerima di perkarangan Masjid Panchor, Durian Tunggal, di sini, semalam.


Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan Awam dan Kemudahan Awam Melaka, berkata, permohonan geran tanah melibatkan tanah rizab kerajaan seperti jalan kereta api dalam Dun itu perlu melalui proses yang ketat.


“Proses yang betul boleh menggelakkan berlakunya penerima lebih daripada seorang penerima geran tanah dalam sebuah keluarga. Sebenarnya syarat dah ada cuma pelaksanaan kepada syarat itu kurang ketat, dan saya dapati yang menerima kali ini ada sehingga dua hingga tiga orang dalam satu keluarga.


“Kalau boleh biarlah mereka yang benar-benar layak mendapat geran itu ter­masuk mereka yang sudah pun meng­usahakan tanah tersebut atau mendirikan bangunan sebagai proses yang lebih telus dan adil kepada orang lain,” katanya.


Menurutnya, dianggarkan lebih 100 individu akan menerima geran seperti itu pada tahun depan melibatkan tiga mukim termasuk Mukim Belimbing Dalam dan Mukim Parit Melana di Durian Tunggal.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]