Tabur bakti selepas 44 tahun

in Edisi Utara by


BALING – Setelah 44 tahun meninggalkan alam persekolahan, sekum­pulan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai kembali semula untuk menabur berbakti.


Namun kehadiran mereka bukan sebagai tenaga pengajar di situ tetapi menyediakan khidmat pendidikan percuma kepada murid melalui program Sirih Pulang Ke Ganggang, baru-baru ini.


Guru Bahasa Melayu, Mat Ariffin Ismail berkata, idea menganjurkan program amal itu dicetuskan melalui kumpulan WhatsApp bekas pelajar SK Lanai (1979-1984).


Menurutnya, mereka saling mengumpul dana serta mencurah­kan idea bagi menjayakan program julung kali diadakan di sekolah itu.


“Program ini melibatkan SK Tembak, SK Teloi, SK Hj Hussain dan beberapa sekolah lain dari Kuala Samak, Kupang dan Pulau Pinang.


“Jumlah pelajar lebih 200 murid manakala hampir 30 guru yang hadir. Terima kasih kepada semua sekolah yang beri kerjasama,” katanya.


Beliau yang juga penulis buku teks sekolah rendah berkata, ramai bekas murid SK Lanai pada 1979-1984 berkhidmat dalam bidang pendidikan hasil berkat tunjuk ajar guru mereka.

Mat Ariffin sedang sampaikan ceramah bahasa Melayu.


“Cikgu-cikgu zaman itu kreativiti mereka cukup hebat, daripada murid dapat satu daripada belakang boleh tukar dapat nombor satu dari depan. Sedangkan zaman itu tidak ada bantuan internet dan se­bagainya.


“Darjah satu saya juga tidak pandai membaca dan berada dalam kelas kedua. Hasil sentuhan cikgu, saya berjaya lompat kelas pertama dan boleh baca serta tulis,” katanya.


Mat Ariffin yang terkenal dengan ceramah bahasa Melayu di seluruh negara turut berkongsi teknik pembelajaran berkesan.


Beliau berkata, pada 2005 satu formula dinamakan Asbat Kasba dicipta.


“As merujuk kepada apa siapa,  huruf B =buat , A= apa dan T= tempat.


“Manakala K ertinya kata hubung. Huruf ASBA bermaksud apa, siapa, buat dan apa,” katanya.


Katanya, formula itu memudahkan pelajar menyusun struktur ayat dengan betul.


Ariffin berkata, teknik pengajaran bagi membina ayat dan menulis karangan dibuat menggunakan lagu.


“Budak-budak lebih senang faham dengan cara ini. Satu lagu bagi satu formula boleh menulis 20 karangan,” katanya yang turut memenuhi undangan ceramah bagi guru-guru bahasa Melayu seluruh negara.


Menceritakan bagaimana formula itu dicipta, Ariffin berkata, ia bermula apabila seorang murid Cina tidak tahu berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa Melayu.


“Seorang murid darjah dua datang dan cakapkan sesuatu tidak difaha­mi ketika saya sedang mengajar. Saya marah dan minta dia duduk, rupanya dia nak ke tandas,” katanya.


Ariffin berkata, sejak itu beliau mempelajari 10 perkataan bahasa Cina setiap hari yang ditulis dalam buku 555.


Menurutnya, setiap perkataan dihafal dan dalam tempoh setahun beliau dapat menutur bahasa Cina.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]