Tidak tergesa-gesa pecat lantikan politik

in Uncategorized by


TAPAH – Kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa memecat individu yang menjawat jawatan melalui lantikan politik kerajaan terdahulu seperti didesak Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak.


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak akan mengambil pendekatan menghukum dengan memecat mereka serta-merta kerana masih ada timbang rasa serta memikirkan pencapaian jangka masa panjang.


“Saya ada pengalaman sebelum ini bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ketika itu berada di dalam BN dan mengambil alih kerajaan Kedah daripada pimpinan Pas pada PRU13 lalu.


“Daripada pengalaman itu saya belajar sedikit apa yang kita lakukan hari ini dan saya fikir dalam negara eloklah amalkan politik matang jangan tergesa-gesa dalam lakukan apa sahaja,” katanya selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Chenderiang, di sini, hari ini.


Tambahnya lagi, masalah yang terdapat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti didakwa AMK Perak itu memerlukan tindakan berhati-hati supaya tidak menyebabkan kerugian kepada syarikat.


“Masalah dalam GLC yang disebutkan saya kira lebih kepada pendekatan jika seseorang yang dilantik itu mempunyai kontrak hingga hujung tahun tak payah segerakan pemecatan mereka kerana jika membatalkan kontrakĀ  syarikat terpaksa membayar baki bulanan untuk elaun mereka,” katanya.


Mengulas mengenai laporan akhbar China mendakwa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu memberikan hasil negatif, Ahmad Faizal berkata ia tidak benar sama sekali.


“Bagi saya lawatan ke China amat berjaya dan di Perak sendiri kita dah bawa pelaburan yang begitu besar terutamanya di Tanjung Malim dan bakal menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.


“Jadi kalau akhbar China tak positif terpulang kepada mereka kerana tujuan kita adalah untuk mengeratkan hubungan antara dua kerajaan dan meningkatkan nilai dagangan dua negara,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]