Air dah jadi macam susu

in Edisi Utara by


BALING – Kolam takungan di Gunung Inas yang menyalurkan bekalan air kepada lima kampung dalam Dun Bayu terjejas setiap kali hujan lebat didakwa kesan daripada penebangan pokok hutan berskala besar di Gunung Inas.


Difahamkan, kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai kawasan penanaman durian musang king.


Zulkifli Salleh, 45, berkata, lima kampung terlibat ialah Padang Lengkuas, Kuala Kuang, Kampung Padang Dan, Sineyek dan Kemangi.


Menurutnya, kolam takungan yang membekalkan sumber minuman kepada lima kampung tersebut tidak dapat diminum.


“Tak boleh guna langsung, jadi air susu. Nak minum kena tapis dulu sampai betul-betul jernih. Nak tunggu adalah dalam empat jam.


“Disebabkan projek ini, alam semulajadi rosak dan air masyarakat terjejas yang menyalurkan sumber minuman kepada 800 rumah,” katanya.


Katanya, air bukit menjadi sumber utama penduduk di situ berikutan kawasan tersebut belum menerima perkhidmatan bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (Sada).


Menurutnya, projek berkenaan turut mengundang banjir kilat kepada penduduk Kampung Sineyek pada Mei lalu.


“Selain itu Sungai Kuang juga menjadi cetek. Projek menyebabkan pasir dibawa ke dalam sungai ketika hujan lebat.


“Banjir lumpur juga masuk ke kawasan tanah penduduk yang bergeran di Kampung Kemangi dan Sineyek. Tapi paling teruk terjejas Kampung Sineyek,” katanya.


Sementara itu, Adun Bayu, Abd Nasir Idris berkata, pihak syarikat perlu memastikan aliran air dari kawasan ladang tidak masuk ke dalam kawasan kampung.


Menurutnya, Pejabat Pusat Khidmat Dun Bayu telah melakukan tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati kesan projek menyebabkan berlakunya tanah runtuh di tepi lebuh raya Baling-Grik sebelum ini.


“Apabila tarahan di atas bukit dibuat mengakibatkan struktur tanah longgar dan rosak hingga menyebabkan tebing di sepanjang jalan Grik-Kupang runtuh. Itu mengundang bahaya kepada pengguna.


“Banjir lumpur terjadi turut merosakkan tanaman kontan penduduk,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]