Air mata dalam lena Rinjani

in Nasional by


LOMBOK – INDONESIA. Sebarkan kasih sayang, sebarkan cinta. Kebimbangan mangsa gempa di Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB), kabupaten Lombok Utara terutama di kacamatan Tanjung masih belum terubat sepenuhnya.


Saya bersama teman dari Singapura Nur Idani Mohd Jelani menjejakkan kaki ke Lombok seminggu selepas gempa kuat 7.0 skala  Richter. Tujuannya hanya satu iaitu untuk memberikan keperluan mendesak di Pondok Pesantren Assai’diyah, Dusun Sigar Penjalin selepas mendapat khabar duka dari teman-teman di sana. Itulah kuasa persahabatan.


Seramai 150 kanak-kanak yatim dan asnaf perlu dibantu. Mereka terputus bekalan makanan dek amukan Rinjani. Asrama ala kadar runtuh. Aula yang selama ini menjadi tempat solat dan pengajian mula condong. Kedudukan pesantren yang jauh di hutan menyukarkan bantuan.

Sambutan kemerdekaan Indonesia tetap diraikan oleh semua sukarelawan


Tiba di desa itu, kami disambut dengan sisa runtuhan rumah dan dihidangkan dengan pandangan khemah-khemah yang hanya beralaskan cadar usang. Satu pandangan yang dahsyat. Menginsafkan.


Jangan menangis! Jangan KAU uji kami dengan kesedihan tetapi berikan kami kekuatan untuk membantu. Saya bersama sekumpulan doktor dari Ikatan Doktor Indonesia, sukarelawan  backpackers, geng bikers yang saya sendiri pun tak kenal.


Dalam persahabatan yang baru terjalin, kami sebarkan kasih sayang, kami sebarkan persefahaman. Bahasa bukan penghalang. Kami wujudkan keharmonian. Dari Malaysia dari Jakarta dari Bali, dari Surabaya, kami bersatu.


Keperluan yang amat mendesak ketika itu ialah khemah, bekalan makanan dan perubatan. Kami kerjakan bersama. Menambah apa yang kurang, mewar-warkan kepada kenalan rapat di Malaysia dan Indonesia menerusi Facebook. Setiap hari rezeki kami murah. Ada sahaja sumbangan.

Dr Tedy Harto bersama pasukannya pergi ke desa-desa untuk memberikan rawatan percuma


Disebabkan gempa berterusan ini, harga barang di ibu kota Mataram melambung. Ada yang dicaj tiga kali ganda. Namun jika difikirkan soal harga pasti mangsa gempa yang memerlukan bantuan ini tidak dapat dibantu.


Di dapur umum yang didirikan, kami masak, bungkus dan edarkan kepada kira-kira 1,000 keluarga. Penduduk di desa ini masih takut untuk bertemu kami ‘orang luar’. Tak mengapa, kami mengerti kesedihan yang membelenggu.


Terdetik untuk tahu apakah nasib ibu mengandung, ibu yang bersalin sehari selepas gempa dan ibu yang hanya menunggu masa untuk menantikan kelahiran. Hospital sekitar daerah ini sudah retak. Tiada siapa yang berani untuk menggadai nyawa ke sana. Bangunan mula dirobohkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan runtuhan.


Rakan saya , Doktor Tedy Harto bersama pasukannya mula memasuki ke beberapa kampung. Ya ada yang sedang melahirkan, ada yang sedang berpantang dan ada yang menghidap penyakit lain.


“Yang penting ketika ini ialah kekuatan emosi. Kita ke sini bukan hanya memberikan rawatan tetapi sokongan moral. Jangan kita bersedih tetapi mulakan dengan canda tawa agar mereka terus tersenyum,” katanya.


Mangsa bencana di sini amat berbeza. Mereka tidak pernah menyalahkan pihak berkuasa jika bantuan lambat apatah lagi merungut kerana terpaksa berkongsi khemah dengan puluhan keluarga.

Luahan anak-anak pesantren


Mereka hanya reda dan terus berdoa. Berdoa supaya Gunung Rinjani menjadi Gunung Sari. Sari yang belum terjaga tetapi mengejutkan Sumbawa.  


Buat kanak-kanak di pasentren, usah risau, saya tidak akan meninggalkan kamu seperti meninggalkan anak yang sedang merangkak. Walaupun kita telah berpisah tetapi akan ada pengganti yang lain.


Buat rakyat Malaysia dan Singapura terima kasih atas sumbangan. Terima kasih juga buat AirAsia Foundation kerana banyak membantu dalam keperluan logistik.  Hanya ALLAH SWT yang akan membalasnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]