Anak muda harap kemudahan litar lumba dibangunkan

in Politik by


PETALING JAYA – Anak muda di Dun Seri Setia mengharapkan agar kemudahan litar lumba dapat dibangunkan oleh calon wakil rakyat di kawasan ini yang bakal dipilih dalam PRK Dun Seri Setia pada 8 September depan.


Wakil anak muda Desa Mentari, Mohd Shahrezza Shahrani, 28, berkata, pembinaan litar lumba di kawasan ini dapat mengurangkan gejala mat rempit yang sering kali membelenggu masyarakat setempat di kawasan tersebut.


“Selain sukan futsal, kita tahu bahawa anak muda ini lebih cenderung kepada sukan permotoran dan langkah ini dapat mengurangkan gejala mat rempit di sini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Halimey rancang tubuh Rumah Ngaji]


“Impian kami anak muda di Seri Setia adalah agar pembinaan litar lumba ini dapat dilaksanakan. Jika tak dapat litar besar, litar mini pun sudah memadai,” katanya selepas menyerahkan tuntutan anak muda kepada calon PH, Halimey Abu Bakar hari ini.


Mengulas lanjut mengenai kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan itu, Mohd Shahrezza berkata, anak muda di Dun Seri Setia semakin bertambah dan keperluan kemudahan yang disediakan di sini juga agak terhad untuk kegunaan bersama.


Katanya, gelanggang futsal di kawasan ini juga perlu penambahabaikan bagi kegunaan anak muda di sini dalam usaha untuk mengurangkan gejala negatif di kawasan ini.


“Impian kami adalah untuk buktikan bahawa anak muda di Dun Seri Setia mampu pergi jauh dalam bidang sukan dan apa-apa aktiviti lain,” katanya.


Dalam pada itu, Naib Ketua AMK Kelana Jaya, Habib Mazlan, 27, berkata, pihaknya melihat anak muda di kawasan ini menginginkan satu platform yang boleh menghubungkan mereka antara satu sama lain.


Menurutnya, bagi tujuan itu, pihak bertanggungjawab boleh memperbanyakkan kemudahan riadah seperti gelanggang futsal, silat dan lain-lain buat golongan belia.


“Selain itu, anak muda juga sebenarnya ingin terlibat dalam program harian dan kemasyarakatan. Jadi kita kena ada platform agar mereka dapat berhubung antara satu sama lain,” katanya.


Sementara itu, ketika mengulas mengenai tuntutan anak muda tersebut,Halimey memaklumkan bahawa kawasan Dun Seri Setia merupakan lokasi yang padat dan kemudahan buat golongan belia juga turut terhad.


Beliau berkata, pihaknya akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bersama agensi terlibat dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selepas ini bagi mencari penyelasain terhadap tuntutan tersebut.


“Selain itu, kita juga akan merangka perbincangan bersama Pejabat Exco Generasi Muda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kementerian Pendidikan, sekilah-sekolah, masjid, surau serta rumah ibadah bukan Islam,”katanya.


Tambah beliau, pihaknya turut mempunyai cadangan bagi merangka program sukan lasak buat anak muda di sini untuk melibatkan mereka dalam aktiviti kembara, pendakian, program jalan kaki dan sebagainya di luar kawasan Dun Seri Setia.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]