Bantuan baru gantikan BR1M

in Uncategorized by


TAPAH – Kerajaan negeri bakal memperkenalkan skim bantuan baharu membantu golongan miskin selepas BR1M dimansuhkan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga menyokong tindakan Tun Mahathir mengurangkan pemberian BR1M secara beransur-ansur sebelum dimansuhkan.


“Apa yang Tun M katakan itu benar tongkat hanya perlu diberikan bagi membantu golongan yang memerlukan dan bagi saya secara peribadi pemberian BR1M lebih kepada membeli sokongan dan bukan membantu rakyat.


“Jika mahu membantu rakyat kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bukan dengan memberi saguhati di mana akhirnya mereka begitu bergantung kepada pemberian kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Gaya Hidup Sihat, PRM Tapah Bersama Menteri Besar, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.


Tambahnya, tindakan Tun Mahathir mengurangkan pemberian BR1M sebelum dimansuhkan menunjukkan perdana menteri pemimpin bertanggungjawab berbanding bekas perdana menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.


“Saya terima baik tindakan ini dan pada masa sama kerajaan negeri berhasrat untuk memperkenalkan skim bantuan kepada golongan sasar bagi mencari jalan bagaimana menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak di Perak.


“Kita sedar ada golongan yang memerlukan bantuan apabila BR1M sudah tiada dan kita akan kenalkan skim bantuan baharu yang bakal diumumkan oleh saya nanti,” katanya.


Mengenai status pemberian kad makanan dan kesihatan kepada golongan sasar di negeri ini, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan ia dapat dilaksanakan


“Proses ini akan mengambil masa sedikit kerana kad tersebut akan digunakan golongan sasar membeli barangan keperluan di kedai runcit terpilih bagi mengelakkan ia disalahguna jika kita memberi wang tunai kepada mereka.


“Begitu juga kad kesihatan walaupun jumlahnya tidak banyak tetapi ia benar-benar membantu golongn miskin dan saya berharap kad ini sudah dapat digunakan seawal-awalnya tahun depan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]