Bengkel selesai isu hak milik kekal tanah

in Uncategorized by


IPOH – Satu bengkel akan dilaksanakan bagi membincangkan isu pemberian hak milik kekal tanah seperti yang termaktub dalam manifesto Harapan Perak.


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian negeri untuk melaksanakan bengkel tersebut dalam masa terdekat.


Katanya, bengkel tersebut akan disertai bekas pegawai kanan kerajaan, pakar perundangan dan perlembagaan serta ahli politik.


“Mereka bersama mengetengahkan pandangan masing-masing bagaimana hendak mewujudkan tanah hak milik kekal.


“Hari ini saya mendapat dua pandangan yang berbeza jadi apa yang perlu dilakukan ialah perkara ini dibincangkan betul-betul untuk kita bawa ke Majlis Tanah Negara untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di Bandar Meru Raya, di sini, semalam.


Sebelum ini isu pemberian hak milik kekal tanah mencetuskan polemik apabila dalam sesi penggulungan Sidang Dun lalu, Ahmad Faizal menjelaskan pemberian hak milik itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari dalam sidang media selepas itu pula menjelaskan ia boleh dilaksanakan kerana tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan kerana pemberian hak milik kuasa kerajaan negeri.


Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan janji manifesto yang dibuat sebelum PRU14 lalu.


Katanya, pimpinan Harapan Perak diketuai Pengerusi Manifesto Harapan Perak sentiasa memantau pelaksanaan janji itu oleh kerajaan negeri.


Beliau berkata, pemimpin Harapan Perak sedia ada menjadi badan pemantau untuk semak dan imbang perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]