BR1M wajar dihentikan: Azmin

in Nasional by


IPOH – Sebarang bentuk sogokan tunai untuk mendapatkan sokongan politik perlu dihentikan termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, rakyat seharusnya didayakan dengan program tertentu yang boleh meningkatkan ekonomi mereka.


Katanya, ketika memimpin Selangor sebelum ini tiada program pemberian wang tunai dilaksanakan di bawah kerajaan negeri.


“Sebarang bentuk sogokan tunai ini untuk mendapatkan sokongan politik mesti dihentikan kerana ini mempunyai unsur rasuah dalam mendapatkan sokongan daripada rakyat.


“Saya mempunyai pengalaman di Selangor. Apa yang kita lakukan adalah memberdayakan rakyat melalui program dan dasar demi mensejahterakan rakyat sebagai contoh peniaga dalam kumpulan B40 di Selangor kita berikan bantuan mikro kredit membesarkan perniagaan masing-masing dengan memberikan pinjaman dari RM1,000 hingga RM50, 000 tanpa faedah,” katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) seluruh Perak di sini hari ini.


Azmin berkata, dengan bantuan seumpama itu mereka dapat memberdayakan keluarga masing-masing.


[ARTIKEL BERKAITAN:BR1M dikurangkan sebelum mansuh: Tun M]


http://www.sinarharian.com.my/nasional/br1m-dikurangkan-sebelum-mansuh-tun-m-1.872058


Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menteri sedang merangka pendekatan dan inisiatif baru dalam hala tuju ekonomi Malaysia yang meletakkan fokus untuk mensejahterakan rakyat.


Dalam perkembangan lain,  kerajaan sedang menggubal kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang akan dibentangkan dalam Oktober ini.


“Kali ini kita akan menggunakan pendekatan yang sedikit berbeza dengan kajian separuh penggal sebelum ini kerana bukan sahaja kita melihat kejayaan prestasi dua tahun yang lalu dalam RMK11 tetapi kita akan memasukkan hala tuju baru ekonomi Malaysia berdasarkan Buku Harapan.


“Memandangkan kerajaan baru sahaja diberikan amanah ini dan ada dua strategi pembentangan dalam RMK11 sudah tentulah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertanggungjawab untuk melihat bagaimana pembangunan di negeri-negeri termasuklah Perak dapat dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]