Cadang pinjaman mudah untuk isi rumah pendapatan rendah

in Nasional by


ALOR SETAR – Kerajaan negeri berhasrat untuk berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta beberapa agensi kerajaan persekutuan bagi mencari kaedah penyediaan pinjaman perumahan untuk golongan kurang berkemampuan pada kadar faedah yang paling rendah.


Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ia termasuklah memberi pinjaman mudah melalui kadar faedah yang rendah seperti kurang satu peratus dengan tempoh bayaran balik pinjaman dipanjangkan kepada 35 tahun.


“Ini bagi membantu keluarga yang pendapatan isi rumahnya tidak lebih dari RM2,000 dan tiada slip gaji kerana mereka ini nak mendapatkan pinjaman bank pun sangat payah,” katanya selepas melawat Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Kedah/Perlis di sini hari ini.


Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri ingin mencadangkan agar BNM menggalakkan bank-bank turut memberikan pinjaman mudah kepada pemaju perumahan bagi tujuan membina lebih banyak rumah kos rendah di negeri ini.


“Di pihak kerajaan negeri kami akan mengenal pasti tapak tanah sesuai bagi tujuan ini dan saya akan berbincang dengan pejabat daerah untuk kenal pasti tanah yang tidak terlalu jauh dari bandar, jangan kita fikir kerana projek perumahan ini kos rendah maka kita letak jauh-jauh di kawasan yang tak ada kemudahan,” katanya.


Sementara itu, mengulas isu pelepasan lot kuota hartanah bumiputera di negeri ini, Mukhriz berkata dasar itu sebenarnya sudah ada sejak 2008 lagi iaitu ketika Pas mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan BN.


“Apabila satu-satu lot hartanah bumiputera itu tidak dapat dijual atas sebab munasabah hingga melewati tempoh ditetapkan, sudah ada dasar untuk melepaskan lot itu dan dibenarkan dijual kepada bukan bumiputera,” katanya.


Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mendedahkan lebih kurang 1,000 unit kuota lot bumiputera di negeri ini tidak terjual sejak 10 tahun lepas menyebabkan modal pemaju hartanah terbeku sebanyak RM400 juta hingga kini.


Kerajaan Pas sebelum ini telah memperkenalkan prosedur tambahan kepada dasar sedia ada iaitu pemaju diminta menyerahkan unit tidak terjual kepada Darulaman Aset Sendirian Berhad (DASB), namun malangnya walau telah menjalankan beberapa inisiatif, tetap gagal menjual unit tersebut yang bernilai RM100 juta. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]