ECRL: Terpulang kepada kerajaan

in Nasional by


MARANG – Sebarang tindakan diambil membabitkan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) perlu diteliti sebaiknya kerana terdapat peraturan antarabangsa yang perlu dipatuhi.


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bukan mudah untuk mengambil tindakan terhadap projek tersebut kerana ada perjanjian telah dimeterai.


Menurutnya, keputusan membatalkan atau meneruskan projek tersebut terletak di tangan kerajaan dan terpulang kepada mereka untuk menilai dengan sebaiknya.


“Tindakan tidak mudah kerana ada perjanjian yang telah dimeterai dan ada peraturan antarabangsa yang perlu dihormati.


“Mungkin akan mengalami banyak masalah sama ada dibatalkan atau diteruskan, kedua-duanya akan ada masalah tapi kita melihat yang mana lebih baik.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tamat ECRL: Kerajaan perlu bayar pampasan RM22 bilion]


[ARTIKEL BERKAITAN: Pembatalan ECRL, SSER belum muktamad]


“Terpulang kepada kerajaan untuk menilai,” katanya kepada pemberita dalam sidang media ketika beliau menghadiri Majlis Melabuh Unjam di Perairan Marang, di sini, hari ini.


Begitupun, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan projek tersebut bukan sahaja boleh menambah baik kemudahan di Pantai Timur malah ia juga mampu memberi kesan kepada ekonomi negara.


“Kita kena sedar bahawa itu (projek ECRL) merupakan satu projek untuk kemudahan belah sini (Pantai Timur) dari segi ekonomi dan Malaysia pun (mendapat kesannya).


[ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan namun bersyarat]


[ARTIKEL BERKAITAN: ECRL dibincang pada lawatan Dr Mahathir ke China]


“Tetapi ada perjanjian-perjanjian yang perlu diperbetulkan dan itu terserah kepada perundingan (antara) kerajaan dengan China,” ujarnya.


Selepas PRU14, beberapa projek dikatakan bakal dibatalkan termasuklah ECRL namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum mengumumkan keputusan sebenar membabitkan projek tersebut.


Pada awalnya, beliau memberi bayangan ECRL akan dibatalkan namun tidak lama kemudian mengeluarkan kenyataan beberapa projek termasuk ECRL akan dikaji terlebih dahulu.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]