Gembira naik bas percuma

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH РRata-rata masyarakat me­nyambut baik usaha kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma, di negeri ini sejak Isnin lalu.


Pengguna, Gan Siok Kee, 60, berkata, dia yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Transit Peringgit, menganggap inisiatif itu benar-benar membantu dirinya untuk berjimat.


Menurutnya, selepas tamat kerja dia akan ke terminal bas Melaka Sentral sebelum mengambil bas awam untuk pulang ke rumahnya di Ujong Pasir dan adakalanya terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi dengan kadar bayaran RM5 hingga RM10 ke Melaka Sentral.


“Sebelum ini, sukar untuk nak dapat perkhidmatan bas di sini, jadi terpaksa juga ambil teksi dengan bayaran yang tidak tetap.


“Bila ada bas percuma dan terdapat laluan ke Pasar Transit dan Melaka Sentral sudah pasti ia menggembirakan orang seperti saya yang pendapatan tidak seberapa,” katanya.


Katanya, sebelum ini dia telah mengetahui mengenai bas percuma itu ketika dimaklumkan pihak Melaka Sentral sebelum perkhidmatan itu dilancarkan Ketua Menteri, Adly Zahari pada 20 Ogos lalu.


“Saya harap adanya laluan ke Banda Hilir dan juga Ujong Pasir kerana jumlah pengguna yang ramai ke kawasan itu dari Melaka Sentral membuatkan orang akan ke bandaraya menggunakan pengangkutan awam,” katanya.


Seorang warga Indonesia, Wan Toko, 45, berkata, walaupun dikenakan bayaran sebanyak RM1 kepada warga asing, namun bayaran itu berpatutan lebih lagi keadaan bas yang selesa dan pendingin hawa.


“Bagi saya bayaran RM1 itu murah dan mampu dibayar, jadi tak akan memberi masalah kepada bukan rakyat negara ini,” katanya.


Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian ke atas bas yang dilengkapi tiga kamera litar tertutup (CCTV) dan alat pengimbas mendapati, perkhidmatan percuma itu masih kurang mendapat sambutan dipercayai beberapa faktor kemungkinan cuti persekolahan.


Inisiatif tersebut masih baharu


Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan Awam dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, inisiatif manifesto tersebut baharu sahaja dilaksanakan dan tidak boleh menjadi kayu pengukur ia gagal atau sebaliknya.


Menurutnya, beliau yakin langkah yang dilakukan kerajaan negeri dapat memberikan manfaat kepada 290,000 rakyat setahun sekali gus memperkasakan perkhidmatan bas awam biarpun kos operasinya dianggarkan RM1.4 juta setahun demi memberikan kebaikan dan keselesaan kepada rakyat.


“Mungkin disebabkan cuti sekolah dan hari raya, pengguna kurang.


“Namun saya difahamkan laluan ke MITC, jumlah penumpang semakin hari makin bertambah,” katanya.


Ketiga-tiga buah bas akan melalui tiga laluan utama iaitu dari Melaka Sentral ke Mydin melalui Simpang Kipmart, Melaka Sentral ke Mydin melalui Hospital Besar dan Melaka Sentral ke Pasar Transit bermula 6.30 pagi hingga 8 malam setiap hari.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]