Guna platform ekonomi digital

in Bisnes by


LEBIH banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan teknologi baharu, meletakkan negara ini di tempat keempat dalam kalangan sembilan negara Asia Pasifik (APAC) bagi pelaksanaan platform digital dan ketiga dalam mengadaptasi Industri 4.0, berdasarkan kajian ditauliahkan FedEx.


Kajian bertajuk “Global adalah Tempatan Baharu: Perubahan Corak Perdagangan Antarabangsa Perniagaan Kecil di Asia Pasifik” (Global is the New Local: The Changing International Trade Patterns of Small Businesses in Asia Pacific) itu, dijalankan oleh Harris Interactive bagi pihak FedEx Express dalam menawarkan pandangan mengenai peluang import dan eksport serta cabaran yang dihadapi PKS.


Keputusan diperoleh berdasarkan temu bual dengan 4,543 eksekutif kanan PKS yang diadakan secara dalam talian dan melalui telefon di sembilan pasaran Asia Pasifik meliputi Tanah Besar China, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura, Korea Selatan,Taiwan dan Vietnam, antara Mac dan April 2018.


Ia mendedahkan bahawa, purata 88 peratus PKS Malaysia menggunakan platform ekonomi digital seperti e-dagang, perdagangan-mudah alih dan platform perdagangan-sosial dengan 61 peratus yakin bahawa platform ini akan membantu memberi sumbangan dalam meningkatkan pertumbuhan perolehan dalam masa 12 bulan akan datang.


Kajian itu turut menyatakan bahawa, Malaysia secara purata mempunyai kadar penggunaan e-dagang sebanyak 90 peratus, perdagangan-mudah alih 87 peratus dan perdagangan-sosial 86 peratus berbanding pasaran lain di Asia Pasifik.


PKS gabung  teknologi Industri 4.0


Kajian itu juga mendapati, 69 peratus PKS Malaysia menggabungkan teknologi Industri 4.0 dalam operasi mereka khususnya seperti pembayaran mudah alih, perisian automasi dan data raya/analitik.  


Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, SC Chong berkata, PKS seharusnya mengambil kesempatan daripada kemajuan teknologi dan menyediakan perjalanan berterusan pelanggan yang lebih berkesan.


Sementara itu, Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ong Chee Tat pula berkata, walaupun teknologi mungkin mengurangkan jurang antara PKS dan pemain industri yang lebih besar, PKS masih menghadapi pelbagai cabaran dalam mengadaptasi aliran terkini atau peralatan teknologi.


“Kebanyakan PKS mungkin mendapati mereka kekurangan kewangan, pengetahuan dan bakat tenaga kerja dalam menggunakan teknologi baharu ini.


“Oleh itu, kami di Persatuan PKS menyedari halangan terhadap penggunaan teknologi dan terus memberi panduan, kuasa dan menyokong PKS dengan menyediakan nasihat strategik atau saranan dan memulakan platform rangkaian untuk memudahkan pertukaran pengetahuan,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]