Hakim terlibat jatuh hukum dakwaan liwat boleh tidur lena

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakim yang terlibat menjatuhkan hukuman atas dakwaan liwat ke atasnya sebelum ini, kini boleh tidur lena.


Presiden PKR, itu berkata demikian kerana pihaknya tidak berminat mengambil tindakan terhadap hakim-hakim yang membuat keputusan kononnya beliau bersalah atas tuduhan liwat ke atas pembantunya.


Anwar berkata demikian mengulas kenyataan bekas peguamnya S N Nair supaya satu siasatan dibuat terhadap keputusan hakim ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu susulan keputusan Yang di-Peruan Agong membenarkan pengampunan penuh kerana hukuman yang dibuat pihak hakim pada waktu itu wujud “ketidakadilan”.


Sebelum ini, SN Nair berkata hakim yang membuat keputusan pada waktu itu tidak melaksanakan keadilan yang sebenar mengikut undang-undang dan gagal mendukung sumpah kehakiman.


Anwar berkata, walaupun begitu namun segala bentuk ketidakadilan yang berlaku dalam sistem kehakiman sebelum ini  mesti diperbetulkan.


“Saya tidak bermaksud untuk ambil tindakan terhadap hakim yang lalu, mereka boleh tidur lena sekarang.


“Tetapi kezaliman dan ketidakadilan mesti diperbetulkan,” katanya selepas peluncuran buku “Anwar Returns The Final Twist: The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim yang ditulis oleh QC Mark Trowell.


Turut hadir, isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wam Azizah Wan Ismail.


Mengulas mengenai tuntutan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam, Tan Sri Shafee Abdullah untuk mendakwa  beliau dalam kes liwat 2, Anwar berkata pihak peguamnya sedang membuat permohonan itu supaya ia dipercepat.


“Saya harap mahkamah tidak akan menangguhkan kes ini. Kami akan mengemukakan rayuan susulan keputusan mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan sebelum ini,”katanya.


Pada 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan Anwar  terhadap kerajaan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam Shafee  untuk mendakwa bekas pemimpin pembangkang itu dalam kes liwat 2.


Mei lalu sebaik sahaja PH memenangi Putrajaya,  Anwar menerima satu pengampunan penuh untuk sabitan liwatnya dari  Agong dengan tuduhan-tuduhannya dipadamkan dari rekod.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]