Harga getah rendah: Kerajaan Melaka bantu penoreh

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Kerajaan Melaka sentiasa prihatin dan membantu pekebun kecil mahupun penoreh getah dalam hadapi masalah pendapatan akibat harga getah yang rendah.


Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata, golongan itu sedang berdepan dengan situasi berkenaan memandangkan harga getah asli turut dipengaruhi harga petroleum di pasaran global yang mana harga rendah akan menyebabkan harga getah sintetik menjadi lebih kompetitif.


Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil kerajaan termasuk di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG).


“Dengan adanya pelaksanaan IPG itu pendapatan pekebun kecil sebenarnya tidak jatuh di bawah paras garis kemiskinan ketika harga getah rendah.


“Kita faham seperti produk komoditi lain, harga getah juga mengalami penurunan menyebabkan pekebun kecil serta penoreh getah di negeri ini turut menerima tempias harga rendah namun dibantu menerusi insentif IPG.


“Tuntutan IPG boleh dibuat di pejabat LGM negeri dengan mengemukakan resit rasmi jualan dan Permit Autoriti Transaksi Pekebun Kecil Getah (PAT-G),” katanya.


Norhizam yang juga Adun Pengkalan Batu berkata, pembayaran IPG tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuk mereka perlu mengemukakan borang tuntutan IPG bersama maklumat yang lengkap dan menyediakan dokumen sokongan seperti resit jualan bagi membolehkan mereka menerima bayaran dalam tempoh 14 hari bekerja.


“Saya difahamkan ada juga pemohon yang memberikan maklumat yang mencurigakan seperti jumlah pengeluaran yang tidak selaras dengan keluasan kebun atau tanpa resit jualan.


“Kebiasaanya LGM akan membuat siasatan termasuk lawatan ke kebun atau premis jualan bagi memastikan kesahihan maklumat yang diberikan sebelum bayaran IPG dilakukan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]