'Hishamuddin tak perlu ada kaitan Mindef lagi'

in Nasional by


KUALA LUMPUR-  Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sewajarnya  memutuskan hubungan rasmi dengan mana-mana pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan.


Desakan itu disuarakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil yang mendakwa, tindakan Hishammuddin yang meminta anggota di bawah kementerian termasuk ATM meneruskan kerja dengan beliau boleh dianggap salah guna kuasa kerana mereka masih berkhidmat dan dibayar gaji oleh ATM.


Menurutnya, alasan Hishammuddin bahawa mereka telah diminta untuk meletak jawatan serta-merta tidak berasas kerana beliau seharusnya memastikan mana-mana individu yang berkhidmat dengan beliau tiada apa-apa kaitan tugas dengan kerajaan dan ATM.


“Ironinya, tiada peruntukan bagi mana-mana anggota ATM dibenarkan meletakkan jawatan 24 jam kerana tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk sesuatu tempoh tertentu.


“Peletakan jawatan mana-mana anggota ATM adalah tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan bukannya boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sebagai bekas menteri, adalah tidak logik untuk Hishammuddin tidak arif berkenaan peraturan ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Adun  Pematang Pasir itu berkata, sebaliknya, Hishammuddin pula memberikan alasan bercanggah dengan menyatakan bahawa perkhidmatan mereka dengan beliau hanya untuk sementara waktu sahaja sedangkan mereka masih berkhidmat dengan ATM.


[ARTIKEL BERKAITAN:Mat Sabu arah siasat segera pengiring Hishammuddin]


[ARTIKEL BERKAITAN: Lepas jawatan ATM atau…]


Tegasnya, tindakan ini jelas bercanggah dengan peraturan-peraturan sedia ada termasuk Akta Angkatan Tentera 1972.


“Justeru, Pemuda Amanah menyokong penuh tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu supaya suatu siasatan diadakan berhubung perkara ini dan kami menggesa pihak berkuasa turut menyiasat  Hishammuddin.


“Siasatan ini penting untuk memastikan mana-mana bekas menteri Kabinet BN menumpukan tugas mereka sebagai pembangkang serta memastikan semua anggota dan pegawai kerajaan memberikan khidmat penuh dan taat setia kepada kerajaan baharu yang telah dipilih rakyat secara sah dan demokratik,” katanya


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]