Infak caj rawatan dikembalikan

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Kira-kira 70 peratus daripada hasil caj rawatan dikenakan kepada pesakit di Pusat Rawatan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam) di Kampung Tengah di sini dikembalikan semula kepada masyarakat.


Pengasasnya, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, beliau agak kecewa ramai yang mengunjungi pusat rawatan itu tersalah sangka dengan menyangka rawatan diberi pihaknya secara percuma.


Ia berikutan tersebarnya video rakaman sebuah stesen televisyen yang tular dalam media sosial baru-baru ini.


“Ramai yang sangka rawatan di Al-Qalam percuma sedangkan mereka tak faham isi kandungan video tersebut… rawatan hanya diberi percuma kepada asnaf, warga emas dan fakir miskin itupun menerusi program terpilih yang dianjur.


“Jika tak kenakan bayaran bagaimana kita nak kembalikan kepada masyarakat dan  infak ke jalan ALLAH SWT. Sebenarnya itulah yang bantu sembuhkan pesakit,” katanya.


 Popular sejak video tersebar


Baharuddin berkata, pihaknya mengakui sejak tersebarnya video tersebut, ribuan pesakit datang menemuinya.


Katanya setiap hari hampir 400 pesakit datang sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit.


“Ada antaranya yang balik kerana tak sabar tunggu,  kita tak mampu bantu semua dalam sehari, peskait ada yang datang dari Rusia, Mesir dan paling ramai dari Brunei,” katanya.


Baharuddin berkata, sehingga kini hampir 300,000 asnaf, fakir miskin, warga emas dan anak yatim dibantu hasil sumbangan hasil caj rawatan dikenakan kepada pesakit.


Beliau berkata demikian ketika Program Sentuhan Kasih Aidil Adha di sini.


Sebanyak 16 ekor lembu ditumbangkan bagi acara korban yang berlangsung selama dua hari. Ia juga katanya hasil infak daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di Al-Qalam.


Menurut Baharuddin, program dianjur ketika hari terakhir raya itu bagi meraikan golongan yang tidak berkemampuan.


“Kita beri peluang dan ruang kepada pesakit untuk bantu secara langsung golongan asnaf dan fakir miskin melalui ibadah korban ini.


“Kesemua 117 asnaf terpilih menerima daging korban, sumbangan wang tunai dan sekampit beras. Penerima juga dijamu dengan pelbagai hidangan termasuk kambing bakar, sup daging dan menu lain yang dimasak secara gotong-royong oleh petugas Al-Qalam,” katanya.


Beri peluang bersedekah


Beliau berkata, menerusi program dianjur pihaknya berharap ia dapat menjadi platfom dan membuka peluang orang ramai bersedekah dan memberi bantuan dalam bentuk material serta fizikal.


“Saya harap ia sedikit sebanyak dapat ringankan beban penerima sekaligus beri kegembiraan kepada mereka dalam sambutan hari raya ini,” katanya.


Dalam program sama mangsa kebakaran di Kampung Kenangan turut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM734 setiap keluarga.


Mangsa kebakaran, Haiunizam Amirudin, 47, berkata, dia bersyukur terpilih menerima sumbangan daripada Al-Qalam.


Katanya, rumahnya terbakar petang Khamis lalu menyebakan dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000.


“Ketika kejadian isteri sarat nak lahirkan anak, hari ini (kelmarin) isteri lahirkan anak keempat. Jadi boleh guna beli keperluan bayi memandangkan kos barangan itu yang agak tinggi ketika ini, terima kasih penyumbang,” katanya.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]