Lelaki patah tulang rusuk dibelasah kerana petai

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki patah tulang rusuk akibat dibelasah selepas disyaki mencuri petai di kebun milik salah seorang penduduk di Kampung Bukit Terap, Batu Rakit, Kuala Nerus, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tindakan suspek, 30-an, yang menceroboh kawasan kebun bersama seorang lagi rakannya disedari dua cucu kepada pemilik kebun yang baru tiba di lokasi.


Menurut sumber, difahamkan kedua-dua cucu lelaki pergi ke kebun datuk mereka untuk meninjau kawasan persekitaran kerana difahamkan kerap berlaku kecurian petai sebelum ini.


“Setibanya di lokasi, mereka terserempak dengan dua lelaki dikenali sedang ralit memegang petai di dalam kawasan kebun.


“Sejurus ternampak kelibat dua beradik itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dan salah seorang suspek berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Sumber berkata, susulan kejadian, suspek mengalami kecederaan patah tulang rusuk terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, bagi mendapatkan rawatan susulan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian daripada salah seorang cucu pemilik kebun terbabit.


Menurutnya, kejadian yang membabitkan nilai kerugian hampir RM100 itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


“Sekarang usaha memburu seorang lagi suspek sedang dijalankan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]