Malaysia #QuranHour 1439H/2018 bincang sejarah tamadun dunia

in Nasional by


SHAH ALAM – Malaysia #QuranHour 1439H/2018 yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah 30 Ogos nanti bakal membincangkan pengisian dalam surah al-Naml (surah menceritakan kehebatan semut).


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, perbincangan juga bakal berkisar kepada sembilan budaya membina tamadun seperti yang terkandung dalam surah berkenaan.


Menurutnya, antara isi penting yang akan diketengahkan adalah bagaimana untuk mengajak rakyat melakukan sesuatu untuk tingkatkan negara dan tamadun dalam negara tersebut.


“Dalam surah al-Naml, kita akan membincangkan empat tamadun, tiga tamadun hancur dan satu tamadun berjaya. Kita harap perbincangan itu akan dijadikan iktibar.


“Isi dalam surah tersebut membincangkan bagaimana sesebuah tamadun itu boleh berjaya dan bagaimana rakyat boleh lakukan sesuatu untuk bantu negara,” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live, di sini.


Tambah Marhaini, beliau menyasarkan seramai 4,000 ke 5,000 peserta menyertai  Malaysia #QuranHour di Shah Alam pada 30 Ogos nanti selepas melihat interaksi kepada al-Quran di Malaysia semakin baik sejak beberapa tahun lepas.


Jelasnya, World #QuranHour yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini berjaya mengumpulkan 9,000 peserta dan tidak mustahil sasaran 4,000 peserta di Shah Alam dapat dicapai.


“Ini merupakan penganjuran tahun keempat dan kita boleh lihat orang dah mula semangat nak adakan program ini di tempat masing-masing. Kita yakin boleh kumpulkan ramai orang bila lihat semangat semakin tinggi.


“Untuk program pada tahun ini, kami bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk di luar negara seperti di Thailand, Poland, Bahrain, Argentina, Turkmenistan, Oman, Russia, Mesir dan India.


“Semangat ini kita nampak datangnya dari Malaysia dan berkembang ke seluruh dunia. Ia beri kita semangat untuk teruskan membawa agenda interaksi dengan al-Quran dan membentuk akhlak mulia,” ujarnya.


Malaysia #QuranHour merupakan program bertujuan menyemarakkan interaksi dengan al-Quran dan menggalakkan lebih ramai umat Islam di Malaysia membaca, memahami dan mengamalkan pengisian dalam kitab berkenaan.


Program yang dianjurkan setiap tahun ini semakin mendapat perhatian dengan jumlah peserta terus meningkat saban tahun.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]