Mangsa berdebar naiki helikopter

in Edisi by


KUALA LIPIS – Renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ahmad Tarmizi Ahmad Japli, 30, kelihatan sedikit cemas ketika dibawa menaiki helikopter dalam operasi menyelamat dari Kem Pengkalan 2, hari ini.


Situasi itu dihadapi oleh renjer terbabit dan diceritakan kembali oleh Pegawai Bomba Kanan, Fuaad Jamaluddin ketika membawa keluar mangsa menggunakan teknik ‘winching’ menggunakan helikopter jenis AW139 Augusta milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pangkalan Udara Subang.


Fuaad ketika ditemui memberitahu,mangsa meluahkan dan mengakui rasa berdebar serta gementar kerana pertama kali menaiki helikopter.


“Selain itu, mangsa (Ahmad Tarmizi) berdebar kerana diselamatkan menggunakan teknik tersebut yang kelihatan seolah tergantung di udara.


[ARTIKEL BERKAITAN: Lokasi Tarmizi ditemui pernah dilalui anggota SAR]


[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa ditemui lemah, tidak alami kecederaan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Renjer Perhilitan hilang 14 hari ditemui selamat]


“Dia kelihatan sihat dan baik namun sedikit kepenatan mungkin kerana sudah terlalu lama hilang di dalam hutan.


“Saya tidak sempat berbual panjang dengannya kerana mahu dia berehat sepanjang perjalanan dari base camp 2 (Kem Pengkalan 2) ke sini,” katanya ketika ditemui selepas tiba di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford kira-kira jam 2.05 petang sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.


Penerbangan itu dilakukan Kapten Liong Cheong Mang dan dibantu oleh empat lagi anggota bomba yang bertolak dari Subang, Selangor jam 10 pagi.


Sementara itu Pegawai Bomba Rohaizat Yusof bersyukur kerana proses membawa keluar mangsa berjalan lancar tanpa sebarang masalah.


Menurutnya,dia mengambil masa kira-kira dua minit untuk mengeluarkan mangsa terbabit.


“Walaupun keadaan hutan berkenaan agak tebal namun pasukan SAR terlebih dahulu sudah menerangkan kawasan berkenaan sekali gus memudahkan proses membawa keluar mangsa,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]