MBMB tawar pengurangan kompaun

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberikan pengurangan ke atas kompaun letak kereta dan kompaun penguatkuasaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018.


Datuk Bandar MBMB, Datuk Azmi Hussain berkata, pengurangan itu diberikan bagi orang ramai yang membuat bayaran di semua kaunter bayaran MBMB termasuk pejabat cawangan bermula dari 16 Ogos lalu sehingga 16 September depan.


Menurutnya, pengurangan turut meliputi denda lewat lesen perniagaan, kompaun hiburan dan caj perkhidmatan cukai taksiran harta dan waran.


“Pengurangan yang diberikan termasuk pengurangan kompaun dan saman mahkamah yang berstatus DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) sebanyak 70 peratus tertakluk kepada had minimum RM10 dan kompaun hiburan sebanyak 50 peratus.


“Bagaimanapun tiada pengurangan kompaun untuk kerja tanah, pembangunan tanpa kelulusan, pembinaan yang tidak mematuhi syarat kelulusan dan kes-kes yang telah didaftarkan, sebutan dan sedang dalam bicara.


“Pengurangan juga diberikan terhadap caj perkhidmatan cukai taksiran harta dan waran sebanyak 70 peratus serta pengurangan denda lewat lesen yang turut diberikan sebanyak 70 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Dataran MBMB di sini yang dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew.


Jelasnya, dengan pengurangan yang telah diberikan, diharap semua warga bandar raya amnya dan rakyat Malaysia khasnya mengambil peluang ini untuk menjelaskan semua kompaun dan denda yang masih tertunggak dalam tempoh tersebut.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]