Nasib Irwan Serigar bergantung kepada Najib: Guan Eng

in Nasional by


PUTRAJAYA – Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab tiga soalan yang diajukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan isu kekurangan RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST, beliau sekali lagi diasak dengan soalan berkaitan isu sama.


Guan Eng dalam satu kenyataan, hari ini berkata, adakah Najib akan memberikan jawapan sama seperti sebelum ini apabila polis mengambil keterangan beliau.


Katanya, ini kerana polis kini sedang menyiasat kehilangan RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik cukai barang da perkhidmatan (GST) ini di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


“Sekiranya polis percaya Najib tidak memberikan kelulusan, maka bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah akan menanggung segala kesalahan. Bukan sahaja kesalahan jenayah pecah amanah tetapi juga menyalahgunakan atau melebihi kuasanya dengan mengambil kuasa seorang menteri.


“Ini kerana hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan agar RM19.25 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST ataupun bayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan undang-undang,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng kirim tiga soalan kepada Najib]


Sebelum ini, Guan Eng mengirimkan tiga persoalan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan RM19.25 bilion dalam tuntutan bayaran balik GST.


Menurutnya, semua soalan itu harus dijawab kerana Najib sebagai bekas Menteri Kewangan perlu memastikan Tabung Bayaran Balik GST mempunyai dana mencukupi, tidak hilang seperti didedahkan baru-baru ini.


Katanya, meskipun jawatankuasa tersebut dipengerusikan Mohd Irwan sejak 2015 namun masih timbul persoalan terutamanya melibatkan beberapa keputusan.


Najib kelmarin menerusi kenyataan di Facebooknya menjawab tiga persoalan yang diajukan oleh Guan Eng dengan menjawab tidak bagi ketiga-tiga soalan tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Najib jawab tiga soalan Guan Eng]


Mengulas lanjut, Guan Eng turut mendakwa kerajaan terdahulu juga tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar, sebanyak RM16 bilion setakat 31 Mei 2018.


“Baki kredit belum dibayar balik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berjumlah RM16.046 bilion ini melibatkan sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan sejak lebih enam tahun yang lepas.


“Ketua Pengarah LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah mengesahkan dua hari lepas bahawa beliau juga menuntut pembayaran RM16 bilion daripada mesyuarat Jawatankuasa Wang Tunai yang diadakan secara bulanan dan dipengerusikan Mohd Irwan.


“Akan tetapi RM16 bilion juga tidak dipindahkan kepada Tabung Bayaran Balik Cukai LHDN. Adakah Datuk Seri Najib juga akan mendakwa beliau tidak tahu atau tidak terlibat dalam keputusan ini dan semuanya diputuskan oleh Mohd Irwan tanpa pengetahuan menteri kewangan pada masa itu?” soalnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]