
MALAYSIA gagal meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan sebelum ini, apabila tewas 1-4 kepada pemenang pingat perak 2014, Pakistan dalam perlawanan Kumpulan B Hoki Lelaki di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Padang Hoki Gelora Bung Karno, di sini malam ini.
Malaysia yang menang dalam tiga perlawanan berturut-turut, berkongsi sembilan mata dengan Bangladesh selepas bermain dalam empat perlawanan tetapi kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan kelebihan jaringan gol.
Pada aksi malam ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1, dengan Pakistan mendapat jaringan awal menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Irfan pada minit kelima sebelum Faiz Helmi Jali menyamakan kedudukan buat skuad negara, lima minit kemudian, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Selepas waktu rehat, Pakistan meneruskan asakan ke kubu Malaysia dan mereka mendapat tiga lagi gol menerusi gol padang Ajaz Ahmad pada minit ke-38, pukulan sudut penalti Mubashar Ali (42’) sebelum Ajaz menjaringkan gol padang keduanya dalam perlawanan, lima minit kemudian.
Malaysia perlu menewaskan Oman pada perlawanan terakhir Selasa ini, untuk mendapat tempat ke separuh akhir.
Untuk rekod, Malaysia membelasah Kazakhstan 16-2, Thailand 10-0 dan Bangladesh 7-0, dalam tiga perlawanan sebelum ini. – Bernama
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]