Permohonan insentif kursus kahwin mula 1 September

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Warga Johor yang berkelayakan boleh memohon bantuan insentif kursus perkahwinan Islam negeri yang mana borang permohonannya boleh dimuat turun dari portal rasmi Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).


Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, permohonan bantuan tersebut bermula pada 1 September depan.


Menurutnya, bantuan berkenaan yang merupakan antara janji Pakatan Harapan (PH) dalam 100 hari mengambil alih pentadbiran Johor bertujuan menggalakkan pasangan Islam mengakhiri zaman bujang masing-masing dengan melangsungkan perkahwinan mengikut syariat.


“Ia juga bagi memastikan setiap pasangan mengetahui kepentingan menjaga adab-adab dan kerukunan rumah tangga.


“Bantuan ini diharap dapat menanamkan rasa tanggungjawab kepada pasangan Islam untuk menjaga ekonomi rumah tangga demi kepentingan masa depan anak-anak dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.


Aminolhuda berkata, antara syarat permohonan bantuan ini mestilah warganegara Malaysia, rakyat Johor, pemastautin melebihi lima tahun dan kursus perkahwinan yang pertama serta kursus yang diadakan di negeri ini sahaja.


“Pemohon juga mestilah hadir dengan jayanya kursus perkahwinan dengan bayaran RM120 dan kursus yang diadakan selepas 9 Mei 2018,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]