Pope Francis digesa letak jawatan

in Global by


VATICAN CITY – VATICAN. Pope Francis didakwa berdiam diri selama lima tahun tentang penderaan seksual yang dilakukan oleh seorang kardinal Amerika Syarikat (AS) terkenal yang digesa meletak jawatan pada bulan lalu.


Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Agung Gabenor Vatican, Ketua Biskop, Carlo Maria Vigano yang mendakwa beliau telah memaklumkan tentang perbuatan tidak senonoh Kardinal Theodore McCarrick kepada Pope pada Jun 2013.


“Pope tahu McCarrick adalah ‘pemangsa’, namun beliau tidak menghiraukan dakwaan itu malah menarik balik larangan dikenakan pendahulunya, Pope Benedict ke atas kardinal terbabit. Pope adalah ‘contoh yang baik’ kerana melindungi perbuatan tidak bertanggungjawab McCarrick. Oleh itu, beliau wajar letak jawatan,” ujarnya.


Pendedahan oleh ketua biskop itu dibuat menerusi surat setebal 11 muka surat yang dihantar kepada rangkaian media Roman Katolik ketika Pope mengadakan lawatan ke Ireland.


Difahamkan, McCarrick meletak jawatan pada akhir bulan lalu selepas terbukti dia melakukan penderaan seksual ke atas remaja lelaki berusia 16 tahun.


Pendedahan yang bakal mencalarkan imej Pope itu diterbitkan selepas beliau berjanji untuk menghentikan perbuatan tidak senonoh oleh pemimpin gereja itu.


Ketika berucap di hadapan sebahagian daripada mangsa, paus terbabit menyifatkan ia adalah memalukan kerana gereja gagal untuk menangani jenayah kejam tersebut.


Sejak beberapa tahun lalu,  Ireland telah menyaksikan kes penderaan seksual dilakukan paderi yang didedahkan antara 2005 dan 2014 di beberapa bahagian negara terbabit.


Semalam, Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar menuntut Gereja Roman Katolik mengambil tindakan terhadap pihak yang melindungi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.


Laporan pertama yang mendedahkan serangan seksual dilakukan paderi Katolik dibongkar Boston Globe pada 2002 dan ia disusuli beberapa kes lain yang dilaporkan di Eropah, AS, Australia dan Chile. – Press TV


Source: SH Global

[featured-video-plus]