Projek naik taraf sungai belum lulus: Adun Jementah

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon untuk menaiktarafkan keupayaan kapasiti Sungai Siput, Jementah, di sini, bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut.


Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata, permohonan tersebut dibuat kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada Rolling Plan Ketiga dan Keempat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).


“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal pada Sidang Dun Johor yang lalu bahawa projek ini masih belum diluluskan sehingga sekarang.


“Bagi kawasan Sungai Siput, kawasan-kawasan di tebing kiri dan kanan seperti Kampung Krishna, Kampung Paya Jakas dan beberapa taman perumahan serta sekolah sentiasa terdedah kepada masalah banjir kilat apabila hujan lebat,” katanya.


Menurutnya, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr E Santhara juga turut membawa isu tersebut semasa sesi Parlimen dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar juga memberi jaminan untuk mencari penyelesaian bagi isu berkenaan.


“Sebenarnya, isu banjir di kampung ini bukan isu baru kerana sudah berlarutan lebih 20 tahun dan masih tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan terdahulu melebarkan dan mendalamkan parit-parit di kawasan tersebut.


“Selain di kawasan ini, terdapat juga beberapa kawasan di Dun Jementah yang mengalami banjir kilat akibat sistem perparitan seperti di Kampung Baru Jementah dan masalah tersebut juga akan diselesaikan,” katanya.


Katanya, kerajaan juga memaklumkan peruntukan bagi menyelesaikan isu banjir di Parlimen Segamat termasuk di Dun Jementah juga masih belum mendapat peruntukan yang secukupnya memandangkan projek berkenaan masih berada di dalam senarai permohonan.


Pada masa sama, beliau meminta penduduk di kawasan terlibat supaya bersabar dan tidak menambah masalah yang sedia ada seperti membuang sampah dan sisa makanan ke dalam sistem perparitan.


“Satu kajian menyeluruh tentang sistem perparitan bandar terutama di kawasan ini dan kawasan lain yang sering berlaku banjir kilat perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sistem perparitan dan data air,” katanya.   

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]