Rabies: Jangan seludup anjing, kucing ke Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Orang ramai dilarang menyeludup masuk anjing atau kucing dari Sarawak ke Sabah sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit rabies ke negeri ini.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong berkata, Sabah tidak membenarkan sebarang aktiviti import anjing atau kucing dari negeri itu sehingga kini sejak wabak berkenaan diistytiharkan di Sarawak pada Julai tahun lepas.


“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah telah mempertingkatkan kawalan pintu masuk terutama sekali laluan darat iaitu melalui Immigration Quarantine Security (IQS) Sindumin-Merapok,” katanya sebagai maklum balas terhadap spekulasi kononnya wabak rabies akan sampai ke Sabah, di sini hari ini.


Dalam pada itu, Junz Wong turut memberi jaminan JPV Sabah akan membuat perancangan rapi bagi menghalang sekali gus menangani penularan wabak itu di negeri ini.


Menurutnya, beberapa siri kempen kesedaran telah dilaksanakan di Tawau; Kalabakan; dan Nabawan, selain turut mengadakan simulasi ‘table top’ di lapangan di Kalabakan, Tawau pada 9 hingga 12 Julai lalu.


Junz berkata penambahbaikan kawasan imunisasi juga akan dilaksanakan di sempadan Kalabakan-Kalimantan Utara; serta Nabawan/Pensiagan-Sarawak dengan memastikan kesemua anjing yang berada dalam lingkungan 30 kilometer akan diberi pelali vaksin rabies.


Beliau turut menggesa supaya orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana individu yang cuba menyeludup anjing atau kucing masuk ke Sabah.


“Pencegahan wabak rabies adalah tanggungjawab bersama,” katanya.- Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]