Saya setia bersama Anwar: Azmin

in Politik by


IPOH – Kesetiaan pimpinan PKR terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjuang sejak 1998 tidak harus dipersoalkan.


Timbalan Presidennya , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sendiri sudah membuktikan kesetiaan itu bersama parti dan Anwar sejak 1998 apabila ditahan kerana memperjuangkan reformasi.


Katanya, biarpun ada pemimpin yang tidak setia kepada parti namun, pemimpin yang ada kini tidak pernah lari meninggalkan perjuangan ketika menang mahupun kalah.


“Saya bukan ingin mendabik dada, saya hanya mahu menyatakan fakta kerana kesetiaan saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesetiaan saya kepada perjuangan Keadilan, saudara masih ingat saya orang yang pertama ditangkap, dipijak, dihina. Anwar ditangkap 20 September, saya ditangkap 16 September 1998.


“Saya diaibkan, keluarga saya dipecahkan sehingga hari ini, tapi saya tetap setia bersama insan bernama Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap menyempurnakan Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang seluruh Perak di sebuah hotel di sini, hari ini.


Mohamed Azmin berkata, beliau sendiri tidak pernah mempertikai kesetiaan ahli dan pimpinan PKR di Perak kerana melihat kesungguhan mereka turun ke kampung-kampung, bandar termasuk kubu kuat Umno dan BN dengan perancangan yang baik sehingga Harapan menang.


Beliau berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang wujud sama ada di dalam PKR mahupun Harapan di negeri ini.


“Namun ada juga pihak-pihak yang cuba mempertikaikan kesetiaan kita entah daripada mana dia timbul, dari semak samun mana, keluar dari estet dan ladang mana tiba-tiba cuba mempertikaikan kesetiaan kita.


“Saya, Dr Muhammad Nur Manuty, Dr Lee Boon Chye, ketua-ketua cabang, AMK, Wanita berikrar kami akan tetap setia kepada Keadilan dan Pakatan Harapan untuk meneruskan aspirasi rakyat,” katanya.


Katanya, pimpinan Harapan yang ada pada hari ini perlu bertutur dan bergerak seperti kerajaan yang bertanggungjawab memenuhi aspirasi rakyat dan negara.


Beliau berkata, kesetiaan itu bukan sahaja perlu disuburkan tetapi ia perlu juga  dipertahankan.


Sementara itu, mengenai pemilihan parti, Mohamed Azmin berkata, ia merupakan proses biasa yang diamalkan setiap tiga tahun.


Katanya, pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR bersama Rafizi Ramli dilihat sebagai bukti bahawa demokrasi di dalam parti kekal utuh dan menyerahkan keputusan kepada kebijaksanaan ahli.


“Agenda reformasi ini diteruskan dan diperkukuhkan dengan iltizam untuk membawa perubahan kepada negara walaupun mandat sudah diberikan oleh rakyat namun fasa kedua reformasi hari ini adalah untuk melaksanakan kata-kata kita.


“Ini penting kerana rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada keadilan dan Pakatan Harapan,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]