Siasat secara telus dakwaan rasuah pembantu politik menteri

in Nasional by


PASIR MAS – Pemuda Umno Kelantan menuntut siasatan menyeluruh dilakukan ke atas pembantu politik Menteri Pertahanan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pembayaran hutangnya berjumlah RM800,000.


Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, siasatan menyeluruh itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas berhubung kes berkenaan selepas ia tular di media sosial.


“Ia juga amat penting untuk membersihkan nama Kementerian Pertahanan dan menteri sendiri (Mohamad Sabu) daripada terpalit berhubung kes ini,” katanya.


Menurutnya, Pemuda Umno Kelantan turut berharap supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat memberikan respon segera berkaitan dengan perjalanan proses siasatan.


Katanya, siasatan yang telus sahaja dapat mengesahkan apa sebenarnya berlaku selaras dengan slogan kerajaan PH iaitu Malaysia Baharu.


Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda Umno Pasir Mas berkata, pihaknya berharap tiada campur tangan politik yang boleh mempengaruhi siasatan tersebut.


Beliau juga berharap Mohamad dapat memberikan kerjasama penuh dan terbaik sepanjang proses siasatan melibatkan pegawainya itu.


“Kita amat berharap SPRM diberikan kuasa penuh untuk menjalankan siasatan ke atas kes ini.


“Besar harapan kita agar pesalah dihadapkan ke muka pengadilan supaya ia menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat,” katanya.


Terdahulu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang pembantu politik seorang menteri berhubung dakwaan menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan masalah hutang serta dikeluarkan daripada status muflis.


[ARTIKEL BERKAITAN:SPRM siasat pembantu politik menteri kes dakwaan rasuah]


http://www.sinarharian.com.my/nasional/sprm-siasat-pembantu-politik-menteri-kes-dakwaan-rasuah-1.868646


END


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]