Sukan Asia: Regu takraw negara catat kemenangan kedua

in Sukan by


PALEMBANG – Skuad sepak takraw negara mencatat kemenangan kedua mengatasi India 2-0 dalam acara antara regu pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.


Pada aksi yang berlangsung di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, anak buah Abdul Talib Ahmad menepati ramalan untuk menang set pertama 21-13.


Set kedua menyaksikan regu negara yang dibarisi Muhammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Muhammad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pegumpan) diberi tentangan hebat regu India namun trio negara tetap tenang dan berjaya memenangi 22-20 untuk kemenangan kedua negara pada perlawanan peringkat kumpulan.


Skuad negara akan turun sekali lagi pada petang ini bagi perlawanan ketiga menentang Korea Selatan.


Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, India dan Nepal.


Manakala pasukan tuan rumah, Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama Singapura, Filipina dan Pakistan.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]