TH belum puas timba ilmu pengurusan haji

in Nasional by


MAKKAH – Memiliki kemudahan dan perkhidmatan pengurusan haji antara yang terbaik berbanding badan pengurusan haji yang lain dan diperakui oleh kerajaan Arab Saudi tidak membuatkan Tabung Haji (TH) berhenti ‘menimba ilmu’ daripada negara lain.


Ketua Pasukan Peneraju Kualiti (PPK) TH di Tanah Suci bagi musim haji 1439H, Mohd Rizzal Khalid berkata walaupun memiliki antara sistem pengurusan jemaah haji yang terkini, PPK masih berkunjung ke pusat-pusat pengurusan haji negara lain bagi tujuan penambahbaikkan pengurusan haji bagi jemaah Malaysia.


“Kita percaya semua rombongan haji rasmi (negara) yang berada di Tanah Suci ini sentiasa melakukan penambahbaikkan untuk memastikan jemaah haji selesa ke arah mendapatkan haji yang mabrur. Jadi, kami selalu melakukan lawatan ke badan pengurusan haji negara lain seperti Indonesia, Turki dan India.


“Walaupun kita sudah memiliki sistem yang terkini, kita masih belajar lagi, kerana kita percaya setiap badan pengurusan haji mempunyai kekuatan mereka tersendiri. Walaupun kita sendiri didatangi untuk dipelajari, kita masih mempelajari insiatif negara lain yang berguna,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau berkata kunjungan itu bertujuan melihat sekiranya ada elemen dan cara pengurusan jemaah haji negara lain yang boleh dijadikan contoh seterusnya dan diaplikasikan ke atas pengurusan jemaah Malaysia pada masa akan datang.


Katanya, PPK sentiasa melakukan penambahbaikkan kepada pengurusan jemaah haji Malaysia setiap tahun dalam memastikan jemaah menerima perkhidmatan yang selesa dan berkualiti daripada pengurusan TH.


“Selepas tragedi kren tumbang (di Masjidil Haram) pada 2015, kita telah membangunkan Pelan Pengurusan Bencana Operasi Haji sebagai satu penambahbaikan. Kita ada ERT (Pasukan Tindakan Kecemasan) peringkat pengurusan maktab.


“Kami juga memastikan bahawa pelan yang telah dibangunkan ini difahami di keseluruhan peringkat keselamatan sama ada daripada peringkat pengurusan maktab, petugas rombongan perubatan dan pembantu petugas haji.


Pada tahun ini, Mohd Rizzal berkata PPK telah melaksanakan projek perintis e-Borang Soal Selidik (eBSS) dengan kerjasama Pusat Operasi Teknologi Maklumat yang akan melibatkan kira-kira 100 responden yang terdiri daripada jemaah muassasah Malaysia.


“Jemaah yang terlibat akan mengisi borang itu secara elektronik. Kita akan tempatkan notebook di Pusat Perkhidmatan Pelanggan. Sebelum ini, kita hanya mengedarkan borang secara ‘hard copy’ kepada jemaah,” katanya.- Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]