Umno Tebrau sangkal dakwaan cukai tanah tertunggak

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menyangkal dakwaan terdapat bayaran cukai tanah yang tertunggak Umno bahagian itu sebanyak RM31,000.


Menurutnya, sebaliknya, tanah di kawasan Pandan, di sini, yang dikatakan telah tertunggak cukai tanahnya itu telah diserahkan kepada pihak pemaju untuk dibangunkan sejak empat tahun lalu.


“Kita telah serahkan tanah di Pandan milik Umno Bahagian Tebrau untuk dibangunkan menjadi rumah kedai.


“Malah, mengikut perjanjian yang dibuat cukai tanah itu perlu dibayar oleh pihak pemaju.


“Jadi, ini bukan masalah. Bukan tanggungjawab kita (Umno Bahagian Tebrau), sebaliknya pemaju yang perlu selesaikan (cukai tanah),” katanya kepada Sinar Harian.


Maulizan berkata, pembangunan rumah kedai di kawasan tersebut juga hampir siap yang mana mengikut perjanjian sebahagiannya keuntungannya turut menjadi sebahagian daripada pendapatan Umno Bahagian Tebrau.


“Saya sendiri tidak berhajat untuk membesar-besarkan perkara ini. Perkara ini mungkin lebih kepada masalah teknikal.


“Tidak perlulah panjang-panjang cerita, banyak lagi perkara yang lebih besar yang kami fikirkan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]