Usaha selesai masalah kampung tradisi

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub berusaha menyelesaikan beberapa masalah kampung tradisi di bawah seliaannya membabitkan isu pengambilan tanah termasuk di kawasan Bakar Batu Perling, Skudai Kiri.


Menurutnya, usaha tersebut bertujuan memberikan keadilan kepada penduduk yang mana tanah mereka telah diambil oleh pihak swasta atau telah terjual kepada pihak lain.


“Masalah tanah adalah antara cabaran besar sebagai wakil rakyat di Parlimen Pulai,” katanya kepada Sinar Harian.


Salahuddin berkata, isu membabitkan nelayan di Pengkalan Rinting juga sedang dilakukan dan pihaknya akan meneliti masalah dihadapi golongan berkenaan.


“Malah saya juga mahu memastikan tapak-tapak tani di kawasan Pulai dapat dipertingkatkan supaya hasil daripada kebun dapat dipasarkan,” katanya


Dalam pada itu, katanya, terdapat juga beberapa sekolah yang perlu diberi perhatian, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kempas Baru.


“Sekolah tersebut memerlukan tambahan sebuah bangunan empat tingkat bagi menempatkan bilik darjah berikutan pertambahan penduduk di kawasan tersebut,” katanya.


Jelasnya, beliau juga bercadang menyelesaikan isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kempas dan mengubahnya kepada sewa beli.


Berikutan itu, beliau yakin, bantuan tujuh pegawai khas di parlimennya bersama lima kakitangan di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa akan membantu melicinkan usaha berkenaan.


“Saya akan balik ke kawasan Pulai pada hari Jumaat dan di kawasan Dun Simpang Jeram pada hari Sabtu setiap minggu, sekiranya tiada urusan berkaitan kementerian dan sebagainya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]