16 daripada 24 cabang PKR Perak sokong Azmin?

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Sekurang-kurangnya 16 daripada keseluruhan 24 cabang PKR di Perak dijangka memberikan sokongan padu kepada pencalonan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu September ini.


Jangkaan itu disuarakan bakal Ketua PKR Cabang Parit, Anuar Zakaria yang menyifatkan Azmin bersama barisan kepimpinannya dalam parti memiliki peluang lebih cerah untuk memenangi pertandingan merebut kerusi nombor dua PKR.


Anuar yang juga bekas Setiausaha PKR negeri berkata, sokongan majoriti itu dipercayai hasil usaha Azmin yang sentiasa komited membantu jentera PKR Perak sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor dahulu.


Menurutnya, selain itu pencapaian cemerlang Azmin dalam mentadbir negeri Selangor sehingga diiktiraf dan dinaikkan pangkat sebagai menteri kanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga merupakan satu asas kukuh mengapa pemimpin itu dianggap lebih berpeluang.


“Ramai tidak menyedari kejayaan Azmin dilantik menteri kanan sebenarnya atas kapasiti pencapaian cemerlang beliau sebagai MB Selangor dan bukannya mempunyai agenda tersembunyi dengan Tun Mahathir sebagaimana didakwa.


“Atas pencapaian itu, saya fikir Tun Mahathir nampak potensi pada Azmin untuk memacu ekonomi negara ke tahap lebih baik, lebih-lebih lagi keadaan ekonomi sedia ada agak terjejas disebabkan pentadbiran kerajaan BN terdahulu,”katanya kepada media di sini hari ini.


Anuar yang memenangi jawatan ketua PKR cabang Parit secara teknikal berkata, dakwaan Azmin tidak lagi membawa aspirasi reformasi diperjuangkan bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak tepat.


Menurutnya, hubungan Azmin dan Anwar sebenarnya jauh lebih rapat berbanding hubungan Ketua Umum PKR itu dengan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.


“Saya secara peribadi dan atas konsensus bersama kepimpinan PKR cabang Parit akan menyokong penuh pencalonan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang,”katanya.


Sementara itu, Setiausaha PKR cabang Bagan Serai, Ahmad Zaki Hussin sewaktu dihubungi menegaskan kepimpinan cabang itu masih belum membuat keputusan muktamad untuk menyokong mana-mana pemimpin PKR yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR kelak.


Menurutnya, pihaknya melihat kedua-dua calon bertanding iaitu Azmin dan Rafizi, masing-masing memiliki pencapaian cemerlang dalam aspek pengurusan parti dan kepimpinan masyarakat.


“Setakat ini, kami masih belum membuat keputusan mana-mana pemimpin PKR tersebut dan hanya akan mengumumkannya dalam masa terdekat.


“Kedua-dua pemimpin atau wakil mereka masih belum mengadakan pertemuan dengan kami, namun pendirian kami adalah untuk cenderung mana-mana pemimpin yang lebih mengutamakan perjuangan parti di peringkat akar umbi,”katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]