Boling Sukan Asia: Natasha, Syaidatul kecundang

in Sukan by


PEMAIN boling negara, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi terlepas peluang menambahkan koleksi pingat, apabila kedua-duanya gagal menempatkan diri ke final stepladder acara Masters wanita di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.


Dengan hanya tiga pemain teratas berpeluang untuk merebut pingat, Natasha, 22, menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan 3,695 jatuhan pin selepas 16 game di Pusat Boling Jakabaring di sini.


Beliau ketinggalan 253 pin di belakang pemain di kedudukan ketiga, Lee Yeonji (3,847) dari Korea Selatan, sekali gus terpaksa melupakan hasrat untuk meraih pingat.


Syaidatul Afifah, 26, yang mara ke acara Masters dengan mencatatkan jatuhan pin tertinggi secara keseluruhan selepas meraih pingat emas acara trios dan perak berpasukan wanita, sekadar meraih tempat ke-14 dengan 3,544 jatuhan pin, di kalangan 16 pemain terbaik yang mara ke acara Masters.


Mirai Ishimoto daripada Jepun terus mengekalkan kedudukan teratas sejak blok pertama semalam, apabila melakukan 3,948 jatuhan pin diikuti Lee Nayoung dari Korea Selatan dengan 3,847 jatuhan pin.


Kedua-dua pemain Korea Selatan yang menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga itu akan beraksi di stepladder final, di mana pemenang akan mencabar Ishimoto untuk penentuan pingat emas, manakala pemain yang tewas akan membawa pulang pingat gangsa.


Natasha yang kali pertama beraksi di Sukan Asia berkata, agak sukar buatnya untuk beraksi pada ‘oil pattern’ pada blok kedua itu.


“Saya juga tidak dapat baca yang pemain lain sudah mula menggunakan bola jenis Urethane, sampai peringkat akhir  saya sedar…Kena belajar banyak lagi dari segi itu. Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi saya di Sukan Asia,” katanya.


Sementara itu, Syaidatul Afifah meluahkan kekecewaan terhadap prestasinya pada acara Masters sepanjang dua hari ini.


“Saya dah cuba macam-macam, tetapi semuanya tak menjadi…Apabila kita dah buat good shoot tetapi tidak mendapat strike, ia agak mengganggu emosi. Acara Masters ini jauh berbeza dari acara trios dan berpasukan kerana di sini tiada rakan sepasukan untuk memberi tunjuk ajar, serta keadaan lane dan oiling pattern juga agak berbeza,” katanya.


Pada blok pertama acara itu semalam, Natasha dan Syaidatul Afifah hanya menduduki tempat ke-12 dan ke-13 selepas masing-masing melakukan 1,811 dan 1,797 jatuhan pin.


Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara Masters adalah ketika Shalin Zulkifli dan Lai Kin Ngoh mencatatkan kedudukan satu-dua bagi Malaysia pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan manakala pingat terakhir dalam acara itu diraih Esther Cheah, iaitu pingat perak pada temasya Doha 2006.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]